Laporan lintas langsung pencalonan di Bukit Gantang

Terkini|KUALA LUMPUR,29 Mac (Hrkh) - Hari ini akan menentukan sejauhmana langkah semua calon dalam menentukan hala tuju di Bukit Gantang. Berikut adalah lintas langsung yang dibawa oleh wartawan-wartawan Harakah yang berada di lokasi berkenaan:

1.45 petang:
Dalam penelitian Mafrel, senarai nama pengundi untuk pilihan raya kecil Bukit Gantang didapati agak meragukan kerana wujud beberapa nama yang telah lama meninggal dunia.

Antaranya, seorang pemilih, Kassim Md Amin yang lahir pada 8/07/1916 telah disahkan meninggal dunia 36 tahun lalu oleh anaknya Rohani Kassim. Manakala, seorang lagi pengundi Che Man Said yang lahir pada 9/11/1912 juga disahkan telah meninggal dunia lapan tahun lalu oleh cucunya.

Kini, yang menjadi kemusykilan kenapakah nama-nama mereka masih lagi tersenarai sebagai pemilih di Bukit Gantang?

11.20 pagi: SPR terima tiga pencalonan iaitu daripada PAS,BN dan calon bebas, Kamarul Ramizu Idris. Walaupun ada tiga bantahan tetapi SPR telah menolaknya.

11.00 pagi:Pegawai SPR,Dato' Mahmud Marsidi mengumumkan masa bantahan telah ditutup.

Wartawan Harakah,Intan Abdullah dihalau daripada memasuki kawasan Penamaan Calon walapun mempunyai surat sebagai pengiring calon PAS.

Karpal Singh yang baru tiba telah diprovokasi oleh penyokong Umno sehingga dibaling dengan beberapa objek.

10.45 pagi: Suasana agak tegang di kalangan penyokong Umno-BN, apabila mereka bergaduh sesama sendiri. Ini telah memaksa pihak polis terpaksa campur tangan untuk meleraikannya.

10.00 pagi: Masa pencalonan telah tamat. Masa bantahan bermula dan borang calon-calon mula dipamerkan.

9.20 pagi: Pihak polis menghalang Ir Khalid Samad, Gobind Singh Deo dan Ronnie Liu daripada memasuki kawasan Pusat Penamaan Calon.

9.15 pagi: Seorang calon bebas, Kamarul Ramizu Idris tiba di kawasan dewan penamaan calon.

9.00 pagi: Calon PAS, Dato' Seri Nizar telah masuk ke dalam Pusat Penamaan Calon.

Suasana di luar agak meriah dengan sorakan kedua-dua penyokong. BN kelihatan seramai antara 3,000-4,000 orang manakala Pakatan Rakyat menengelami penyokong BN dengan lebih 12,000 ribu orang.

Kelihatan juga replika kapal selam dan laungan "hancur BN, Altanyuya dan takbir" kedengaran sepanjang proses penamaan ketika ini.

8.40 pagi: Calon PAS, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, tiba di Pusat Penamaan Calon bersama-sama dengan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang;Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang; Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dan Speaker Dun Perak, Sivakumar.

8.35 pagi: Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar; Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din; Ustaz Mujahid Yusof Rawa dan Ir Abdul Khalid Samad kelihatan di Pusat Penamaan Calon.

Suasana sekitar dikawal ketat oleh pihak polis. FRU kelihatan dan helikopter berlegar-legar di kawasan tersebut.

8.30 pagi:Lebih 100 staf Harakah dan penyokongnya mencuri tumpuan dalam perarakan tersebut apabila membawa sepanduk,kain rentang sertai memakai baju 'T' yang tertera kata-kata bantahan terhadap tindakan KDN yang menggantung akhbar Harakah tempohari.

Perarakan staf Harakah tersebut diketuai oleh Ketua Pengarang Kumpulannya, Ahmad Lutfi Othman dan kakitangan editorial.

Menurut Lutfi, mereka telah bertolak seawal tengah malam tadi daripada ibu pejabat Harakah di Jalan Pahang untuk berada bersama kumpulan perarakan pada pagi ini.

"Bantahan ini adalah untuk menunjukkan betapa ruangan-ruangan demokrasi makin ditutup oleh pihak pemerintah.

"Dan warna hitam yang menjadi latar pakaian kami serta kain rentang pagi ini melambangkan suasana gelap mula menyelubungi ruang-ruang kebebasan akhbar negara ini,"jelasnya semasa dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

8.00 pagi: Perarakan ke pusat penamaan calon, Majlis Perbandaran Taiping bermula.

Petugas dan penyokong PAS selain berarak turut sama membantu mengawal lalu lintas agar tidak berlaku kesesakan lalu lintas. Perarakan turut disertai penyokong KeADILan dan DAP.

7.45 pagi:Solat hajat selesai diadakan.

6.45 pagi:Polis sudah mengawal lalu lintas seawal jam 6 pagi. Bandar Taiping mula sesak dengan kenderaan yang kebanyakkannya membawa bendera PAS.

Dianggarkan lebih 10,000 penyokong PAS sudah berada di kawasan sekitar Masjid Daerah Taiping. 6.30 pagi: Para penyokong PAS sudah mula berkumpul seawal jam 2 pagi di pekarangan Masjid Daerah Taiping (Masjid Jambu). Perarakan dijangka akan bermula jam 8 pagi selepas solat hajat diadakan. - mks.

KISAH LIMA PERKARA ANEH


Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Ke arah Kesdaran Islam Semula

Suatu Perkembangan Yang Membahayakan Umat Islam

Suatu pengaruh dan fahaman yang merosakkan umat Islam ialah menularnya fahaman sekular dalam masyarakat Islam. Pengaruh sekularisma ke atas negara-negara Islam dikatakan bermula dari abad ke 18M hinggalah ke abad ini.

Suatu contoh yang jelas di zaman moden ini ialah apa yang telah berlaku kepada Daulah ‘Othmaniyyah Turki di mana telah diadakan pembaharuan undang-undang dengan memasukkan undang-undang yang bukan daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Undang-undang ini datangnya daripada “code” orang-orang barat semenjak Zaman Renaissance lagi.Ia telah menjayakan sekularisasi. Pengaruh tersebut semakin lama semakin menyeluruh memasuki semua bidang hidup hingga menyebabkan soal-soal kehidupan harian terpisah daripada dasar-dasar kerohanian Islam. Unsur barat itu diterima dengan alasan menjalankan pemodenan, pembangunan serta kemajuan.

Di Tanah Melayu, ketika zaman penjajahan British, sekularisasi dalam bidang pentadbiran mulai berlaku dalam abad 19M dengan termeterinya Perjanjian Pangkor (1874).

Sekularisasi terus berjalan hingga ke abad ini. Meskipun terdapat beberapa perubahan namun sekularisasi semakin menebal hinggakan Din Islam itu dipersempitkan menjadi amalan peribadi bukan lagi menjadi sistem pengatur kehidupan ini.

Perkembangan ini sangat membahayakan umat Islam yang memegang amanah Allah S.W.T. untuk menegak dan melaksanakan kehidupan Islam dan nilai-nilainya berdasarkan tauhid.

Pendewaan Nilai-nilai Barat.

Sebahagian masyarakat Islam kini juga sedang menghadapi bahaya kerana mendewakan idea-idea barat buatan manusia. Hal ini amat membimbangkan kerana dikhuatiri mereka akan termasuk ke dalam golongan yang disifatkan dalam firman Allah S.W.T.:

“Mereka (ahli Kitab) mengambil bijak pandai dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan mereka selain dari Allah.”-Surah at-Taubah: ayat 31.

Mujahid Sa’id Hawwa telah memberikan penjelasan dalam kitabnya, Jundu Allah Thaqafatan Wa Akhlaqan, bahawa Imam Tarmizi meriwayatkan bahawa ‘Adi Bin Hatim at-Ta’i datang berjumpa Rasulullah S.A.W. sedang baginda membaca ayat tersebut. ‘Adi berkata kepada Rasulullah S.A.W.: “Sesungguhnya Ahli-ahli kitab itu tidak pernah menyembah pendita-pendita mereka”. Maka Rasulullah S.A.W. berkata kepada ‘Adi: “Ya!, sesungguhnya mereka mengharamkan ke atas ahli Kitab sesuatu yang halal serta menghalalkan sesuatu yang haram dan mereka (Ahli Kitab) mematuhinya, maka itulah bentuk penyembahan kepada mereka (pendita-pendita) tersebut.”

Mujahid Sa’id Hawwa menjelaskan lagi bahawa jika dilihat kepada realiti masyarakat Islam kini ternyata bahawa mereka melaksanakan hukum-hukum selain daripada hukum Allah S.W.T.

Di kalangan orang ramai terdapat berbagai sikap dan pandangan. Ada yang berterus terang mengajak kepada perlaksanaan hukum lain selain hukum Allah S.W.T. Ada yang bertindak sedemikian secara bersembunyi. Ada yang berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan. Ada yang berpuas hati dengan sistem kufur yang berjalan hingga jika diajak untuk merubahnya maka ia enggan. Ada yang mempersendakan dan mengejek apabila diajak kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Tidak kurang juga ada yang menyatakan bahawa kerja-kerja untuk melaksanakan hukum-hukum Islam itu telah ketinggalan zaman serta tidak bertamaddun lagi.Sikap-sikap sedemikian amat merbahaya serta dibimbangkan akan termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah S.W.T. :

“Tidakkah kamu melihat mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang ditanzilkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah ditanzailkan sebelum engkau, mereka mahu berhukum kepada Taghut (sistem selain Islam) sedangkan mereka diperintahkan menolak Taghut, dan syaitan itu mahu menyesatkan mereka sesesat-sesatnya.” -Surah an-Nisa’: ayat 60.

Kejahilan Masyarakat Tentang Hakikat Islam

Menurut Asy-Syahid Dr. Abdul Qadir ‘Audah di dalam kitabnya, Al-Islam Wa Audha’una as-Siyasiyyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.

Kejahilan terhadap Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam. Mereka menolak hukum-hakamnya yang menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.

Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah S.W.T. Ini telah ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Din di sisi Allah hanya al-Islam.” - Surah Ali-’Imran: ayat 19.

“Dan Aku redha bagi kamu al-Islam sebagai ad-Din” - Surah al-Maidah: ayat 2.

Allah S.W.T. sama sekali tidak menerima sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Islam. Hal ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya :

"Sesiapa yang mencari selain daripada al-Islam sebagai Din (cara hidup), maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak terdiri daripada golongan orang yang rugi.” - Surah Ali ‘Imran: ayat 85.

“Apa yang ada selepas kebenaran melainkan kesesatan.” - Surah Yunus: ayat 32.

Allah S.W.T. juga tidak mengutuskan seseorang rasulNya melainkan dengan kebenaran dan al-Kitab . Firman Allah S.W.T.:

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu al-Kitab dengan kebenaran.”
- Surah an-Nisa’: ayat 105

“Dialah yang mengutuskan rasul yang memberi pertunjuk dan dengan Din yang benar.” - Surah at-Taubah: ayat 33.

Jika demikian sifat Islam maka mengapa masih kedapatan ramai yang masih mencari-cari sistem yang lain daripada sistem Islam? Sesungguhnya mereka yang menolak sistem Islam yang merupakan jalan menuju Allah S.W.T., menolak al-Quran dan menukar gantinya dengan ideologi-ideologi yang lain, maka mereka sebenarnya telah diselaputi dengan kegelapan dan kesesatan.Mereka jahil terhadap hakikat Islam itu sendiri.

Kejahilan itu membawa mereka yakin terhadap ideologi-ideologi seperti demokrasi , kapitalisme barat, yakin komunisme dan sosialime Timur,meskipun mereka mengaku percaya kepada Allah S.W.T. Kejahilan menyebabkan ada yang menyatukan Islam dengan ideologi-ideologi lain seperti melaungkan demokrasi Islam dan sosialis Islam dengan harapan supaya diterima oleh masyarakat. Sebenarnya penamaan tersebut bererti menzalimi Islam,sedangkan Islam bersih daripada penamaan-penamaan tersebut. Islam adalah Islam.Tidak ada sistem tiruan dan cedokan daripada mana-mana sistem lain.Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan mana-mana sistem kerana ia ditanzilkan oleh Allah S.W.T.

Mesti Kembali Kepada Sumber-Sumber Islam Yang Sahih

Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi telah menekankan dalam kitabnya, al-Hill al-Islami Faridhah Wa Dharurah, bahawa kita mesti kembali kepada sumber Islam yang suci lagi bersih iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.Kita mesti kembali kepada fahaman Islam yang sebenarnya sepertimana yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T, kepada Rasulullah S.A.W. serta yang difahami oleh para sahabat r.a. serta pengikut-pengikut mereka.

Dalam hal ini Mujahid Fathi Yakan juga telah menjelaskan dalam kitabnya, Musykilah ad-Da’wah Wa ad-Da’iyah, bahawa kita perlu menimba kefahaman dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. serta Sirah an-Nabawiyyah. Juga amat perlu kita merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar semoga kita jelas mengenai konsep yang sebenar mengenai Din al-Islam. Ini meliputi hukum-hakam, perundangan, ‘aqidah, ‘ibadah dan haluan hidup individu, masyarakat dan negara.

Tumpuan yang berat mestilah diberi kepada al-Quran al-Karim yang disifatkan sebagai cahaya hati dan sistem hidup kita.Penerimaan ayat-ayat al-Quran hendaklah disifatkan seperti kita sedang menerima wahyu (perintah Allah S.W.T.).Dengan itu, barulah kita merasai bahawa al-Quran itu menghalakan perintahnya kepada kita dalam semua hal. Barulah Al-Quran akan berkesan kepada jiwa dan menghasilkan natijah.

Kembali Kepada Generasi Awal

Kita perlu melihat kembali kepada generasi awal Islam yang telah dijelaskan di dalam kitab-kitab muktabar seperti Ma’alim Fi at-Tariq ( Sayyid Qutb ) dan Maza Khasira ad-’Alam Bi Inhitat al-Muslimin ( Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi ) di mana generasi tersebut dikenali sebagai Generasi al-Quran yang hanya mengambil sistem yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T. sahaja. Mereka tidak mencipta sistem hidup menurut kehendak nafsu mereka sendiri. Mereka faham adalah punca kezaliman, kesesatan dan kejahilan adalah akibat kehidupan tanpa hidayah dari Allah S.W.T. Mereka tidak secara meraba-raba memilih jalan hidup, sistem politik dan corak sosial. Mereka telah menerima wahyu dari Allah S.W.T. bagi menerangi serta memandu jalan hidup mereka.

Generasi tersebut sebenarnya telah menjalani latihan dan tarbiyyah yang lama di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. berpandukan wahyu Allah S.W.T. sebagai sumber pembentukan hingga lahir peribadi-peribadi Muslim yang berjiwa tauhid, tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamak keduniaan .Mereka hanya bermatlamatkan keredhaan Allah S.W.T. semata-mata. Kehidupan jahiliyyah sudah tidak bernilai lagi bagi mereka. Mereka hanya menyerah kepada panggilan Iman di bawah arahan Rasulullah S.A.W. pada hal mereka sedar bahawa mereka akan menghadapi ancaman daripada masyarakat jahiliyyah di sekeliling mereka. Mereka faham bahawa orang-orang mu’min pasti diuji keimanan mereka. Firman Allah S.W.T:

“Apakah menusia itu menyangka bahawa mereka itu akan dibiarkan mereka berkata: Kami telah beriman. sedangkan mereka tidak lagi diuji.” - Surah al-Ankabut: ayat 2.

Generasi pertama Islam itu telahpun berjaya menghapuskan al-Ghurbah al-Awwal. Kita generasi sekarang wajiblah pula bekerja untuk menghapuskan al-Ghurbah ath-Thaniyah. Hal ini pernah ditegaskan oleh Prof. Muhammad Qutb dalam suatu ceramahnya yang bertajuk Falana’rif Haqiqah Islamina.

Umat Perlu Dibangunkan Mengikut Kehendak Allah

Kita tidak boleh memahami Islam hanya sekadar melihat sepintas lalu amalan hidup ummat yang mengaku Islam hari ini.Sekarang, Islam telah dikelirukan. Masyarakat Arab 14 abad yang lalu juga tidak dapat melihat kebenaran kerana kebenaran itu telah dikelirukan oleh sifat-sifat fujur yang menguasai manusia itu sendiri.

Rasulullah S.A.W. telah diutuskan dengan membawa kembali nilai yang betul terhadap Islam, manusia dan kehidupan melalui jalan Iman kepada Allah S.W.T. Melalui Imanlah kita akan dapat menilai alam, manusia dan kehidupan ini dengan betul.

Perlu diyakini bahawa mana-mana umat yang tidak diproses mengikut saluran yang Allah S.W.T. kehendaki tentulah tidak dapat melahirkan natijah hidup Islam .

Kita tidak gemar untuk bercakap banyak dalam hal ini, tetapi oleh kerana ketiadaan Ummah yang benar-benar menghayati Islam maka kita perlu memberi kefahaman serta kesedaran Islam sebenar. Kita tidak menafikan bahawa di sana-sini ada individu-individu melakukan amalan Islam, tetapi tidak dinyatakan dalam satu Jamaah.

Untuk mendapatkan kefahaman dan kesedaran itu kembali,maka perlulah kita kembali kepada proses tarbiyyah yang pernah berjalan di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. atau yang disebut sebagai Madrasah Rasulullah.


Wallahu A’alam .

Tuntutan Islam ke atas Penganutnya

APAKAH TUNTUTAN ISLAM KE ATAS KITA

Tajuk di atas sebenarnya adalah sangat besar dan luas untuk diperbincangkan, tetapi apa yang akan kita bentangkan di sini hanyalah sekadar gambaran sahaja yang mana mudah-mudahan ianya dapat kita manfaatkan bersama ke arah kebaikan dan seterusnya ke arah penghayatan Islam yang sebenarnya di dalam kehidupan kita.

Diantara tuntutan-tuntutan Islam ke atas kita ialah ;

1. ISLAM DALAM AQIDAH KITA - yakni Aqidah Salimah Sahihah yang bertepatan sebagaimana yang dianjurkan oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Aqidah yang benar dan sah adalah menjadi syarat pertama kepada pengakuan sesaorang yang telah menerima Islam sebagai agama yang mengatur hidupnya. Kita hendaklah beriman dan mempercayai perkara-perkara yang diimani dan dipercayai oleh para sahabat nabi SAW, generasai pertama Islam (as sabiquunal awwaluun) yang telah terbukti kebajikan, ketaqwaan dan kefahaman mereka yang tepat dan benar terhadap Islam.

Untuk menjadikan aqidah kita aqidah yang benar-benar diiktiraf sebagai aqidah seorang muslim, perlulah kita meyakini bahawa pencipta alam sejagat ini ialah Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan orang lain. Kita perlu meyakini bahawa Allah tidak menciptakan alam ini termasuk semua makhluk yang ada di dalamnya tanpa sebarang tujuan tertentu ataupun untuk bermain-main. Kita juga perlulah meyakini bahawa Allah telah mengutuskan para Rasul dan menurunkan kitabNya adalah untuk tujuan mengajar manusia mengenal Allah dan memberitahu mereka tentang matlamat kewujudan mereka didunia ini dan ke manakah akhirnya kehidupan mereka kelak. Kita perlu meyakini bahawa matlamat kehidupan manusia didunia ini ialah untuk mengenal Allah SWT dengan sifat-sifat uluhiah dan rububiahNya, taat dan mengabdikan diri kepadanya selaras dengan apa yang di jelaskan dalam firman Allah yang bermaksud;

“dan Aku (Allah SWT) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”

Kita juga perlulah meyakini bahawa syurga adalah balasan dan ganjaran bagi mukmin yang taat manakala siksaan yang pedeh dan azab api neraka adalah balasan bagi orang-orang yang kafir. Kita juga perlu yakin bahawa penciptaan dan penggubalan undang-undang adalah hak mutlak Allah SWT dan ini bererti kita sebagai manusia tidak boleh melewati dan melanggar undang-undang Allah SWT atau dalam ertikata yang lain membuat dan menggubal undang-undang yang berdasarkan akal fikiran kita sendiri.

Seterusnya kita hendaklah mengabdikan diri hanya kepada Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain. Hendaklah kita merasa takut kepada Allah semata-mata dan tidak takut kepada yang selain daripadaNya. Dan ketakutan kita kepada Allah seharusnyalah menjadi pendorong untuk kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dimurkai dan diharamkan oleh Allah SWT. Kita juga mestilah sentiasa menginagati Allah SWT dalam apa jua suasana dan mestilah mencintai Allah SWT lebih daripada kecintaan terhadap perkara-perkara yang lain.

Firman Allah SWT; maksudnya;

“Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu kuatiri kerugiaannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan dari berjihad dijalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik”(9:24)

Sebelum dan selepas kita melakukan sesuatu kita perlulah bertawakkal kepada Allah SWT dan kita bertawakkal ini hendaklah dalam semua urusan dan perkara. Disamping itu hendaklah kita banyak bersyukur terhadap nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita dan hendaklah kita sentiasa memohon ampon kepada Allah SWT dan bertaubat kepadaNya kerana taubat itu merupakan kifarat bagi segala kesalahan disamping menjadi penenang hati bagi mereka-mereka yang insaf dan sedar.Dan akhir sekali untuk kita memperolehi aqidah yang benar perlulah kita sentiasa di dalam keadaan bermurakabah terhadap Allah SWT (merasai bahawa Allah melihat, mendengar dan mengetahui apa yang kita lakukan) baik dalam keadaan terang ataupun tersembunyi.

2. ISLAM DI DALAM IBADAH KITA - Ibadah dalam Islam adalah merupakan kemuncak kepatuhan dan ketundukan sesaorang hamba kepada Allah SWT dan kelaimik dari perasaan yang merasakan akan kebesaran Allah sebagai tempat untuk mengabdikan diri. Ibadah juga merupakan tangga penyambung diantara makhluk dan penciptanya. Selain daripada ibadah mempunyai kesan-kesan yang mendalam disudut hubungan antara makhluk dan penciptanya.

Sesungguhnya Islam menuntut supaya seluruh kehidupan ini hendaklah berjalan di dalam rangka ibadat dan taat hanya kepada Allah SWT. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT;

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”(51:56)

Oleh itu untuk menjadikan ibadah kita keseluruhannya di dalam rangka mengabdikan diri kepada Allah maka perlulah kita berhubung terus dengan Allah SWT dalam apa jua perkara yang hendak kita lakukan. Kita sentiasa menghubungkan hati kita dengan Allah SWT sehingga dapat kita merasakan apa yang disebut sebagai ‘Ehsan’yakni kita melakukan ibadah kepada Allah seolah-olah kita melihatNya dan kalau kita tidak melihatNya maka kita yakin bahawa Allah melihat apa yang kita perbuat. Ibadah yang kita lakukan hendaklah benar-benar khusyuk sehingga dapat kita merasakan kepanasan hubungan kita dengan Allah SWT dan merasakan akan kepuasan dan kelazatan dari ibadah yang kita kerjakan itu.

Sewaktu kita melakukan ibadah hendaklah kita benar-benar menghadirkan diri dan hati kita dihadapan Allah SWT. Maknanya kita perlulah membebaskan diri kita dari sebarang urusan dan kepentingan dunia. Inilah yang disebut oleh nabi SAW dalam sepotong hadis yang bermaksud ;

“Allah tidak akan melihat solat lelaki yang tidak menghadirkan hatinya bersama badannya”

Sehubungan dengan ini telah disebutkan juga bahawa “Solat itu merupakan sebahagian daripada urusan akhirat,apabila kamu masuk ke dalamnya bererti kamu telah keluar dari dunia”.

Diriwayatkan juga bahwa Hasan Al-Basri pernah berkata,”Setiap solat yang dilakukan tanpa kehadiran hati maka solat itu adalah lebih cepat membawa kepada siksaan”.

Dalam melakukan ibadah kita hendaklah merasa tamak yakni tidak cukup dengan apa yang telah kita lakukan. Kita akan sentiasa berusaha untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan ibadat-ibadat sunat seperti melakukan qiamul-lail ( bangun sembahyang diwaktu malam ) dan sebagainya. Sesungguhnya qiamul-lail adalah merupakan perkara yang paling kuat yang dapat memelihara iman kita. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Muzammil ayat 6 ; maksudnya;

“Sesungguhnya bangun diwaktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan diwaktu itu adalah lebih berkesan”

Kita juga haruslah menentukan masa-masa tertentu untuk membaca dan mengamati Al-Quran terutamanya diwaktu fajar kerana bacaan diwaktu itu adalah disaksikan oleh para malaikat. Seterusnya apabila kita membaca Al-Quran hendaklah dengan penuh tadabbur (penuh perhatian), kita berfikir untuk memahamkan isi kandungannya dan kalau boleh jiwa kita hendaklah merasa sensitif disamping merasa dukacita kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;

“Sesungguhnya Al-Quran itu di turunkan dengan dukacita , oleh itu apabila kamu membacanya hendaklah kamu merasa dukacita”.

Selain daripada itu kita juga hendaklah tidak lupa berdoa kepada Allah SWT di dalam apa jua urusan dan perkara yang hendak kita kerjakan kerana doa adalah otak bagi segala ibadat. Dan dalam melakukan doa ini pula hendaklah kita memilih doa-doa yang maasur yakni doa-doa yang telah diwariskan kepada kita oleh Rasulullah SAW yang kita yakini akan dimakbulkan oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud;

“Mintalah padaKu, niscaya akan Ku perkenankan (permintaan)mu”.

3. ISLAM DISUDUT AKHLAK DAN KEPERIBADIAN - Akhlak yang mulia adalah merupakan matlamat asasi bagi risalah Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud;

“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”

Akhlak yang mulia juga merupakan natijah dan tanda dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak yang mulia. Pernah Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat,”Apakah deen itu?”. Lantas baginda menjawab dengan sabdanya,”(Deen itu) adalah akhlak yang baik”.

Akhlak juga merupakan amal yang paling berat yang akan diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat kelak. Maka sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Dalam Islam akhlak adalah merupakan intipati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak-laku yang tidak mempunyai apa-apa nilai dan faedah. Berhubung dengan solat umpamanya, Allah telah berfirman yang bermaksud;

“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perkara jahat dan mungkar”. ( 29 : 45 ).

Daripada ayat ini dapatlah kita fahami bahawa sesaorang yang mendirikan solat sudah tentulah tidak melakukan perkara-perkara fasad dan mungkar yang mana ini akan meletakkannya sebagai seorang yang memiliki keperibadian Islam yang sebenar dan berakhlak mulia. Tetapi sebaliknya kalau kita lihat pada realiti yang berlaku hari ini ada sebahagian umat Islam yang mendirikan solat tetapi tidak mendapat apa-apa nilai dan faedah disisi Allah sedikitpun kerana solat mereka bukan untuk melahirkan akhlak yang mulia serta meninggalkan perkara-perkara yang mungkar sebaliknya solat mereka itu hanyalah sekadar nak menutupi kederhakaan mereka terhadap Allah SWT daripada mata masyarakat.Jadi inilah waki’(satu kenyataan) yang berlaku dalam kebanyakan masyarakat Islam pada hari ini yang memerlukan kepada proses pembersihan dan pengislahan yang bukan sedikit.

Pembersihan dan pengislahan ini tidak akan terlaksana kecuali dengan mereka kembali menghiaskan diri mereka dengan sifat-sifat ataupun Syaksiah Islam yang sebenarnya bermula dengan menanggal dan menukarkan sifat dan akhlak yang tercela kepada sifat dan akhlak yang terpuji dan mulia. Dan di antara sifat atau akhlak yang terpuji dan mulia itu ialah bersifat wara’, sentiasa menundukkan pandangan dari perkara-perkara yang haram, memelihara lidah dari berkata-kata tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah dan membawa kepada dosa, bersifat malu sekiranya tidak melaksanakan perintah Allah bukan kepada manusia malah yang lebih utama untuk rasa malu ialah kepada Allah SWT,lemah-lembut dan penyabar, bersifat benar,amanah dan jujur,tawaduk (merendah diri) terutamanya kepada orang-orang yang beriman,menjauhi perbuatan buruk sangka,mengumpat dan sebagainya, bersifat pemurah dan lain-lain lagi.

4. ISLAM DI DALAM AHLI DAN KELUARGA - Apabila kita mengakui menganut agama Islam, pengakuan ini mewajibkan kita mendukung satu risalah dalam hidup ini malah menjadikan seluruh hidup kita ini adalah untuk tunduk dan patuh kepada arahan risalah tersebut.

Kalau tadi Islam menuntut ke atas kita supaya muslim disudut aqidah, ibadah dan akhlak maka kali ini ianya menuntut pula agar kita bekerja bersungguh-sungguh untuk merubah masyarakat di mana kita berada supaya menjadi masyarakat Islam ataupun mukmin yang sebenarnya.

Tidaklah memadai dengan kita menjadi muslim seorang diri sahaja tanpa mengambil berat tentang orang-orang yang ada disekeliling kita. Ini adalah kerana diantara kesan-kesan yang ditiupkan oleh Islam dan diresapkannya ke dalam hati sesaorang yang telah beriman ialah rasa mas’uliah (perasaan bertanggungjawab) terhadap orang lain yakni untuk menyeru dan menasihati mereka agar kembali kepangkuan Allah SWT dengan menghayati ajaran Islam yang syumul dan menyeluruh yang bersih daripada suasana campur-aduk. Ini bermakna kita dikehendaki mengambil tahu akan realiti umat Islam yang ada disekeliling kita disamping mengajak mereka untuk bersama-sama menterjemahkan ajaran Islam ini di dalam realiti kehidupan. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;

“Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahuat aupun mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam,maka dia bukanlah golongan mereka (golongan orang-orang Islam)”.

Bertolak dari keadaan ini bermakna kita telah mempunyai satu tanggungjawab yang baru, iaitu tanggungjawab untuk menegakkan sebuah Masyarakat Islam dan tanggungjawab untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat.

Jadi langkah pertama kita ke arah itu ialah dengan kita membentuk rumahtangga kita terlebih dahulu agar menjadi sebuah Rumahtangga Muslim. Kita bertanggungjawab untuk menegakkan Islam ini terlebih dahulu di dalam masyarakat rumahtangga yakni keluarga kita yang kecil itu. Kita sampaikan Islam kepada mereka, ibu-bapa kita adik-beradik, saudara-saudara kita dan anak-isteri kita (bagi yang sudah berkahwin) yang mana inilah cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW diperingkat permulaan dakwah.

Tugas dan tanggungjawab kita sebagai muslim tidaklah terhad hanya cukup sekadar kita menjadi muslim tetapi ianya adalah lebih daripada itu. Maknanya di sini sesudah kita menunaikan tanggungjawab terhadap diri kita maka kita bertanggungjawab pula menyebarkan Islam ini di dalam keluarga, rumah dan anak-anak kita.

Firman Allah SWT dalam Surah At-Tahrim ayat 66 yang bermaksud;

“Wahai orang-orangyang beriman,peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”.

Untuk membantu usaha-usaha kita agar dapat memenuhi tuntutan Islam di dalam rumahtangga dan keluarga maka Islam telah menunjukkan kepada kita wasilah ataupun jalan-jalan yang insyaAllah akan menyampaikan kita kepada tuntutan tersebut.Diantaranya ialah apabila kita hendak mendirikan rumahtangga maka hendaklah terlebih dahulu ianya di niatkan kerana Allah SWT. Kita berkahwin bukan untuk berseronok-seronok tetapi dengan tujuan untuk membina sebuah rumahtangga Muslim yang bakal melahirkan keturunan yang soleh yang sanggup memikul amanah dan meneruskan risalah Islam yang telah ditinggalkan kepada kita oleh Ar-Rasul Muhammad SAW.

Selain daripada itu kita berkahwin adalah dengan tujuan supaya dapat menjaga pandangan dan kehormatan kita agar dengan itu membolehkan kita untuk lebih bertaqwa kepada Allah SWT.Dalam hubungan ini Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya;

“Allah SWT berhak menolong tiga golongan ; orang yang berjihad pada jalan Allah SWT hamba mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang-orang yang berkahwin dengan tujuan untuk dapat memelihara kehormatan dirinya”.

“Sesiapa yang berkahwin bererti beliau telah menyempurnakan sebahagian dari agamanya dan hendaklah beliau bertaqwa kepada Allah SWT pada sebahagian yang lain yang masih belum disempurnakan”.

Isteri ataupun bakal suami yang akan dijadikan rakan perkongsian hidup kita mestilah yang mempunyai akhlak dan berpegang teguh dengan agama. Maknanya disini bakal isteri ataupun suami yang hendak dikahwini mestilah yang mempunyai deen,sekalipun tidak mempunyai harta dan kecantikan jika dibandingkan dengan yang lain. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya;

“Janganlah kamu mengahwini perempuan kerana kecantikannya. Boleh jadi kecantikan mereka akan menjadikan mereka hina. Janganlah kamu mengahwini perempuan kerana harta mereka, kerana boleh jadi harta mereka akan menjadikan mereka bersikap zalim, tetapi kahwinilah mereka kerana agamanya”.

Apabila kita telah mendirikan rumahtangga perkara utama yang perlu dijaga oleh kedua suami-isteri ialah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang bercanggah dengan syara’ serta berusaha menjauhi kemurkaan dan azab Allah SWT. Ini adalah kerana setelah berumahtangga kita mempunyai satu tanggungjawab lain yakni tanggungjawab untuk mendidik anak-anak sekirannya dikurnia oleh Allah SWT cahaya mata yang mana tanggungjawab ini tentulah tidak akan dapat kita laksanakan dengan baik melainkan dengan jalan kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang ditegah dan melaksanakan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT.Apabila perkara ini dapat kita pelihara dengan baik dan berjalan dalam suasana rumahtangga kita maka insyaAllah akan lahirlah di dalam rumahtangga kita itu hubungan kasih sayang yang kerdasarkan aqidah serta persefahaman di dalam pemikiran,jiwa dan perasaan.

Pada hakikatnya kejayaan di dalam perkahwinan kita adalah bergantung kepada sejauhmana kita mampu memelihara perkara-perkara yang syara’,menghayati ajaran Islam dalam ertikata yang menyeluruh serta menunaikan tanggungjawab di dalam rumahtangga yang mana termasuklah di dalamnya tanggungjawab mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam yang sebenarnya. Anak-anak itu sebagaimana sabda Rasulullah SAW , dilahirkan dalam keadaan fitrah(suci bersih). Jadi kitalah, kedua ibubapanya yang akan mencorakkan anak tersebut samada dengan corak yang baik ataupun sebaliknya.

Apabila anak-anak mendapat tarbiah(didikan) yang baik maka insyaAllah dia akan menjadi anak yang soleh, tetapi seandainya dia tidak diberikan tarbiah yang betul maka akan berlakulah sebagaimana yang boleh kita lihat pada hari ini dimana anak-anak tidak menghormati kedua ibubapanya malah ada yang apabila dewasa tidak langsung menghiraukan kedua ibu-bapanya.

Oleh kerana itu Islam amat memandang berat terhadap aspek pendidikan anak-anak dan amat berharap agar kedua ibu-bapa dapat menyediakan segala bentuk, sebab-sebab, jalan-jalan dan juga suasana yang boleh membawa kepada keberkesanan tarbiah yang baik terhadap anak-anak mereka. Perlulah dirasai bahawa kewajipan untuk mendidik anak-anak ini sebenarnya adalah merupakan satu kewajipan yang amat besar nilainya disisi Allah SWT jika ianya dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya;

“Mendidik anak-anak adalah lebih baik bagi sesaorang itu daripada bersedekah secupak”

“Apabila seorang anak Adam itu meninggal maka terputus semua amalan-nya kecuali tiga perkara;Sadakah Jariah, Ilmu Yang Memberi Manfaat dan Anak Yang Soleh Yang Berdoa Untuk-Nya”.

5. SENTIASA BERJIHAD MELAWAN HAWANAFSU - Setiap Muslim perlulah berusaha untuk membebaskan dirinya dari bertuhankan hawanafsu kerana Allah telah mengingatkan kita di-dalam firman-Nya yang bermaksud;

“Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan”.(Yusuf : 53)

“Dan janganlah kamu turuti hawanafsu kerana nanti ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah”. (Shad : 26)

Jadi jelaslah kepada kita bahawa menuruti atau bertuhankan hawanafsu adalah penyebab kepada segala kejahatan yang akan menyesatkan manusia dari jalan yang haq.

Oleh yang demikian kita sebagai Muslim Mukmin hendaklah mengutamakan jihad terhadap hawanafsu terlebih dahulu sebelum daripada berjihad terhadap perkara-perkara yang lain. Sabda Rasulullah SAW; maksudnya;

“Seutama-utama jihad ialah jihad orang yang berjihad terhadap hawanafsu-nya dalam mentaati Allah Azzawajalla”.

Jihad terhadap hawanafsu merupakan jalan yang paling baik untuk menghindarkan sesaorang daripada melakukan kejahatan dan juga perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Namun demikian sebagai manusia kita juga tidak sunyi daripada melakukan dosa dan kesalahan. Dan hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam sepotong hadis yang bermaksud;

“Tiap-tiap anak Adam itu(manusia),akan melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang segera bertaubat kepada Allah SWT”.

Jadi orang-orang mukmin apabila dia melakukan kesalahan maka dia akan segera bertaubat dan memohon ampon kepada Allah SWT. Mereka ingat kepada Allah SWT dan menyedari akan hakikat bahawa hanya Allahlah sahaja yang dapat mengamponkan dosa dan kesalahan mereka.Sikap mukmin yang demikian telahpun digambarkan di dalam Al-Quran; Surah Ali-Imran :135, maksudnya;

“Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri,mereka ingat akan Allah SWT lalu memohon ampon terhadap dosa-dosa mereka Dan siapakah lagi yang dapat mengamponkan dosa selain daripada Allah ? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui”.

6. MEYAKINI AKAN KEBENARAN SISTEM ISLAM SELURUHNYA - Setiap muslim perlulah mengetahui bahawa hanya Islamlah sahaja satu-satunya sistem yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia ciptaan Allah SWT ini. Allah yang menjadikan manusia(kita semua) maka Dialah yang lebih mengetahui tentang sistem hidup yang sesuai bagi kehidupan manusia. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Mulk ayat 14 yang bermaksud;

“Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui?, dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui”.

7. WAJIB MENGHALAKAN SELURUH HIDUP UNTUK ISLAM - Kita hendaklah bekerja kearah membina kehidupan Islam yang mana semua itu adalah dalam rangka untuk kita mencapai matlamat hidup yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud;

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu”.

8. BERUSAHA MEMBENTUK JAMAAH DAN MEMBINA DAULAH – Yang menjalankan syariat Allah dan menegakkan hukum-hukum Allah SWT. Sebarang kecuaian kita di dalam usaha-usaha ini ataupun kita meninggalkan usaha-usaha ini adalah dikira berdosa dan dimasukkan oleh Allah dalam golongan orang-orang yang kafir, zalim dan fasiq. FirmanNya di dalam Al-Quran Surah Al-Maidah ayat 44,45 dan 47 yang maksudnya secara ringkas berbunyi;

“Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT, maka mereka itulah orang-orang yang kafir,zalim dan fasiq.”


Wallahu A'lam.

Yahudi Mahu Orang Islam Jadi Kafir

MEMANGLAH orang Yahudi berusaha supaya orang Islam menjadi kafir. Antaranya cara hidup mereka yang kita terima dengan terang dan jelas sekali iaitu teori-teori politik, ekonomi, pendidikan yang dilaksanakan pada hari ini atau yang dipanggil sosialisme, kapitalisme, pragmatisme, demokrasi dan seumpamanya, Jika dikaji teori-teori ini adalah dilahirkan oleh orang Yahudi atau Nasrani.

Merekalah yang mencipta teori-teori dan falsafah ini, di mana kebanyakan orang Islam percaya kepada teori ini sehingga sanggup menolak Islam sekali gus tidak menyedari diri telah menjadi kafir. Inilah apa yang dikehendaki oleh orang kafir yang Allah Taala sebut di dalam ayat yang kita mesti menyedarinya.

Apa yang berlaku itu adalah kerana hasad dengki mereka selepas ternyata bagi mereka kebenaran. Mereka sudah mengetahui bahawa Islam itu agama yang benar. Memang ramai kita mendengar orang yang tidak percaya kepada Islam dengan mengaku bahawa Islam itulah yang betul.

Kalau ditanya mengapa tidak mahu ikut Islam? Mereka menjawab Islam tidak boleh dan tidak sesuai dilaksanakan pada zaman sekarang. Kenyataan itu serupa dengan apa yang disebut di dalam ayat al-Quran.

Kepada ahli kitab pada zaman Nabi, Allah memerintahkan supaya memaafkan mereka dan membiarkan mereka sehingga Allah Taala mendatangkan perintah-Nya sesungguhnya Allah Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu, maksud ayat 109 surah al-Baqarah.

Ayat memaafkan mereka dimansukhkan hukumnya. Kalau kita lihat Allah menyatakan di dalam ayat itu � �Sehingga Allah mendatangkan perintah-Nya.� Apakah perintah-Nya? Perintah-Nya ialah firman Allah Taala dalam ayat 29 surah at-Taubah, maksudnya: �Perangilah orang-orang yang tidak beriman dengan Allah.�

Firman Allah Taala yang bermaksud: �Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan.

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani." Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar."

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Dan orang-orang Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata: "Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)"; padahal mereka membaca Kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.�

Di dalam ayat di atas, Allah SWT menceritakan tentang kesesatan Yahudi dan Nasrani serta kebingungan mereka di mana di antara kesesatan dan kejahatan mereka antara lain ialah mereka berkata bahawa tidak akan masuk syurga melainkan orang Yahudi. Ertinya selain Yahudi, tidak akan boleh sama sama sekali memasuki syurga Allah SWT.

Nukilan daripada buku 'Usaha jahat Yahudi' Kuliyyah Tafsir Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, halaman 13�17 bab 124.

Tanggungjawab Pemimpin Ingatkan Rakyat Mengenai Kematian

"Maka, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku, dan sunnah para khulafa' ar-Rasyidin al-Mahdiyyin dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat." --- Abu Daud dan Tirmizi.

Kalau kita melihat perkembangan hari ini, masyarakat kita sudah jauh daripada agama. Dan, sifat menjauhi agama ini adalah sikap orang-orang yang suka menjauhi akhirat. Sedangkan kewujudan akhirat itu adalah suatu kepastian.

Menjauhi akhirat ertinya kita seperti berusaha mengelak menemui kematian. Kematian menjemput kita pada bila-bila masa sahaja. Dalam kes terbaru, Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Razali Ismail telah dijemput oleh Allah s.w.t ketika beliau sedang bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, berhampiran Genting Highland.

Mati mengejut secara tiba-tiba ini sepatutnya meresahkan kita kerana kita mungkin terheret dalam kancah kematian tanpa memiliki sebarang persediaan untuk menemui Tuhan.

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah bersabda bahawa orang yang pintar dan bijaksana itu ialah mereka yang selalu berfikir mengenai kematian. Mengapakah mereka yang kerap mengingati mati itu dinilai dan diperhitungkan sebagai manusia yang bijaksana? Ini kerana, mereka selalu berasa resah, gelisah, khuatir dan bimbang kalau-kalau amalan mereka masih tak mencukupi untuk dibawa pulang ke akhirat.

Tambah merisaukan mereka, jika amalan itu dibungkus oleh pakaian ujub, riak, sum'ah dan tidak ikhlas mengerjakan amalan itu kerana Allah. Kekhuatiran yang semacam inilah yang akhirnya menyebabkan seseorang itu terdorong pula untuk berdoa meminta keampunan dan beristighfar semoga amalan mereka itu diberikan pakaian ikhlas oleh Allah s.w.t.

Mengingatkan rakyat mengenai kematian adalah sunnah nabi dalam pemerintahan
Berdasarkan hadis di atas yang menyingkap perihal sunnah, maka kita melihat bagaimana pemimpin terdahulu seperti baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda Khulafa' ar-Rasyidin al-Mahdiyyin kerap mengingatkan rakyat berhubung kematian dan alam barzakh.

Maka, tindakan mengingatkan rakyat berhubung kematian dan segala persiapan untuk menempuh ke alam barzakh ini, termasuk dalam sunnah-sunnah nabi dan para sahabat baginda dalam menjalankan tanggungjawab dan kewajipan mereka dalam pentadbiran Islam. Pemerintahan Islam bukan sekadar memperihalkan hal urusan dunia.

Bahkan, hal yang menyangkut membangunkan kesedaran untuk membangunkan persiapan ke akhirat adalah termasuk dalam urusan pemerintahan Islam juga. Antara kisah termasyhur adalah kisah Umar r.a melihat umat Islam zaman beliau yang kurang dalam mengingati mati.

Maka, suatu hari Umar perintahkan umat Islam datang ke masjid dan mereka langsung disoal dengan soalan-soalan di dalam kubur. Diringkaskan cerita, semua umat Islam mula terkesan dengan latihan dan tarbiyah seumpama itu. Maka meningkatlah amalan mereka kerana terkesan dengan corak latihan tarbiyyah dari Umar itu. Maka, inilah sunnah Umar yang wajar diikuti.

Umar juga berkata, ajarkanlah anak-anak kalian dengan ilmu pengetahuan semasa dan terkini. Jika Umar masih hidup lagi pada zaman kita dan beliau melihat perkembangan teknologi seperti Imej Janaan Komputer (CGI) dan lain-lain teknologi yang kreatif dalam usaha membangunkan kesedaran untuk mengingatkan rakyat berhubung kematian, nescaya Umar akan guna semua peralatan itu untuk tujuan membangunkan kesedaran betapa perlunya persiapan menempuh akhirat.

Tiada salahnya pemerintah berkreatif mengingatkan rakyat atau rakyat mengingatkan pemerintah mengenai persiapan untuk menempuh kematian.

Menteri Besar Kelantan melalui kuliah dan tazkirahnya, segala ceramahnya itu telah dibukukan dan kebanyakan rakaman itu berkisarkan soal hidup selepas kematian di padang mahsyar. Ini adalah teknologi buku-buku dan kitab-kitab.

Di Kampung Tok Selehor, seorang ulamak terkenal yang hidup sezaman dengan Tok Kenali, iaitu Tok Selehor telah mengguna teknologi tersendiri, iaitu membina lubang kubur yang mana dia sendiri masuk ke dalamnya untuk mengingatkan dirinya tentang kematian.

Teknologi, laluan lebuh raya bahasa, lapangan sastera untuk ingat kematian
Tiada salahnya menggunakan peralatan teknologi terkini dalam usaha mengingatkan orang-ramai mengenai kematian. Ada juga yang menggunakan jalan sastera seperti Sajak Kematian. Jadi, hal ini merupakan lebuh raya dan landasan yang boleh diterima juga untuk mengingatkan rakyat mengenai kematian.

Mengapakah Menteri Pelajaran sanggup menafikan semua kebijaksanaan teknologi ini? Kalau beliau mahu haramkan, maka dia perlu berikan alternatif lain tentang cara-cara menghidupkan ghairah kaum pelajar dalam mengingati mati. Dia tak boleh haramkan begitu sahaja, melainkan beliau mesti memberikan jalan alternatif lain, sebab ini semua adalah kewajipan dari pihak pemerintah untuk mengingatkan rakyat mengenai kematian.

Sesungguhnya, pemergian Datuk Razali Ismail dan ucapan sebak dan tangisan teresak-esak Hishamuddin ketika melontarkan respon mengenai pemergian pembantu beliau itu seharusnya menyedarkannya bahawa hal mengingati mati ini adalah satu hal yang tidak boleh dipandang remeh memandangkan hal ini termasuk dalam sunnah pemerintahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Lebih-lebih lagi, Hishammuddin adalah Menteri Pelajaran.

Ajarlah generasi muda mengingati mati. Atau, kalau dalam nama asalnya Menteri Pendidikan (ini yang lebih tepat), maka didiklah, asuhlah, adabkanlah pelajar-pelajar sekolah agar selalu cenderung mengingati mati dan secara tidak langsung mereka akan terdorong membanyakkan amalan dan selalu melatih diri agar bersifat ikhlas dalam beramal.

NILAI-NILAI KEPIMPINAN ISLAM

"Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat." (Kata hikmah Khalifah Abdul Malik bin Marwan)

Kata-kata ini saya catit di cafe Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini. Di sini, kita mendapat beberapa pengajaran..

Pertama, merendah diri ketika berkedudukan tinggi. Kedua, memiliki sikap pemaaf saat mampu membalas dendam. Ketiga, bersikap adil ketika kuat.

Sebenarnya, ketiga-tiga nilai dan adab kesopanan seseorang penguasa ini sangatlah sukar untuk dilaksanakan. Ketiga-tiga nilai itu adalah merendah diri, pemaaf dan adil.

Sebelum kita melanjutkan perbahasan, ada baiknya juga kita mengenali peribadi Khalifah Abdul Malik bin Marwan ini secara ringkasnya.

Sedikit ringkasan berhubung Abdul Malik bin Marwan
Khalifah Abdul Malik bin Marwan dilahirkan pada tahun 26 Hijrah (646 Masihi). Ibunya bernama Aisya bt. Mu'awiyah b. al-Mughira.

Ketika beliau berusia 16 tahun, Abdul Malik b. Marwan telah mengetuai pasukan tentera Madinah melawan Byzantine ketika pemerintahan Mu'awiyah.

Beliau adalah khalifah Bani Umayyah yang kelima yang memerintah dari tahun 65 Hijrah - 86 Hijrah (685 - 705 Masihi).

Khalifah Abdul Malik b. Marwan sempat melakukan pembaharuan seperti mengeluarkan matawang mas, mengumpul kembali Mushaf Uthman, dan lain-lain. Pada akhir hayatnya, Abdul Malik b. Marwan berhasrat melantik anaknya Al-Walid bin Abdul Malik sebagai Khalifah. Pada zamannya juga Qubbat As-Sakhrah telah dibina di Baitulmuqaddis.

Tidak diketahui apakah yang menyebabkan Khalifah Abdul Malik bin Marwan menyebut tiga perkara ini. Dan, yang paling penting, kepada siapakah ia ditujukan?

Merendah diri pada kedudukan tinggi
Mari kita teliti bersama. Pada ketika seseorang penguasa itu berada pada kedudukan yang sangat tinggi, mudahkah dia merendah diri?

Mungkin ada yang masih dapat merendah diri, tapi tak ramai penguasa yang boleh dengar pandangan orang ketika mereka sudah berada di puncak kekuasaan. Rata-ratanya, mereka melihat pandangan orang bawahan itu bagaikan sampah.

Turun padang tidak menggambarkan sikap merendah diri. Pada zaman ini, politikus hebat berlakon. Penguasa turun padang, beramah mesra dan berjabat tangan dengan rakyat. Hal ini masih belum menunjukkan mereka merendah diri.

Merendah diri itu bukanlah dengan jalan tunduk, terbongkok-bongkok di hadapan tetamu, bersuara lembut dan lunak kepada khalayak. Tetapi, ia dinilai dalam mesyuarat dan syura antara komuniti masyarakatnya. Adakah mereka boleh dengar pendapat bawahan?

Jadi, jalan turun padang, bersalaman dengan orang-ramai seperti yang ditunjukkan dalam tv itu bukan kayu ukur yang kuat, untuk mengesahkan sikap, af'al merendah diri.

Apalah ertinya Hishammuddin Tun Hussein turun padang, bersalaman dengan guru-guru sekolah, tetapi raungan guru-guru, ibu bapa, murid-murid yang mendesak supaya PPSMI dimansuhkan tidak dipedulikan beliau.

Kalau dibuat pungutan suara di sekolah-sekolah rendah, nescaya Hisham akan mendapati bahawa kebanyakan pelajar dan guru-guru tak merelakan matapelajaran mereka dicemari oleh dasar PPSMI yang tertegak, dibangunkan tanpa dasar teori yang kukuh itu.

Bekas Menteri Pelajaran Tun Abdul Rahman Yaakob dalam satu kenyataannya baru-baru ini berkata beliau membantah keras dasar PPSMI ini.

Kalau Hishammuddin benar-benar punya sikap merendah diri tentulah dia bermuzakarah, berdebat dengan bekas menteri pelajaran; Tun Abdul Rahman Yaakob seperti mana debat mengenai kenaikan harga minyak melibatkan Anwar dan Shabery Cheek di TV9.

Tapi, jika diwujudkan usaha untuk berdebat seperti itu pun, Hisham tentu tak akan pergi. Pertama, dia takut. Kedua, beliau tidak dapat merendah diri seperti sepupunya Najib yang enggan berdebat dengan Anwar tentang isu kenaikan harga minyak dahulu.

Memaafkan musuh ketika berdaya membalas
Sikap kedua ialah, memaafkan musuh ketika berkuasa. Jika hal ini terlaksana, rakyat kita pasti bertambah lega dan aman. Ini kerana, telah wujud kecenderungan di pihak penguasa untuk menghukum rakyat apabila mereka tidak dipilih oleh rakyat.

Dalam mana-mana keadaan, kita dapat melihat bahawa kebanyakan penguasa berdendam dengan rakyatnya. Dan dengan sebab itulah rakyat jadi berdendam dengan penguasa.

Tidak dapat tidak, kita mesti mengakui bahawa sahabat-sahabat nabilah antara yang amat baik dijadikan contoh teladan dalam hal ini. Saidina Ali k.w misalnya pernah dalam suatu peperangan, beliau hampir membunuh seorang Yahudi.

Demi melihat Yahudi itu meludah ke arah wajahnya, maka Ali tak jadi membunuh. Maka hal itu tentu sahaja membenihkan pertanyaan dalam dadanya.

"Apa yang menyebabkan engkau tidak jadi membunuhku?" tanya lelaki itu.

Maka, jawab Ali, "Kami diperintahkan berperang di jalan Allah. Tapi, saat kau meludahi wajahku, aku khuatir membunuhmu kerana dendam dan bukan kerana Allah."

Terpesona dengan perawakan dan kejernihan hati si sahabat yang dibina peribadinya oleh madrasah Rasulullah itu, maka si Yahudi pun mula lembut hatinya memeluk Islam.

Sebelum dilantik sebagai khalifah, Sayyidina Ali k.w telah menunjukkan sifat mulia, iaitu memaafkan musuhnya ketika beliau terdaya membalasnya.

Ternyata, ada riwayat gelap dalam sejarah Islam menjelang berlakunya bertukaran antara Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah. Habis kawasan perkuburan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah dimusnahkan setelah Bani Abbasiyyah berkuasa.

Antara yang terselamat dalam gempuran itu ialah kubur Umar Abdul Aziz. Oleh kerana pemerintahannya adil, maka golongan Abbasiah menghormatinya selepas kematiannya. Ternyata, ketika berkuasa memang sulit menahan diri daripada membalas dendam.

Bersikap adil ketika kuat
Sikap ketiga ialah adil ketika kuat dalam menjalankan pemerintahan. Dalam contoh yang terjadi dalam negara kita ialah bentuk hubungan kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Jadi, oleh kerana perbezaan politik, kerajaan pusat lazimnya tidak dapat berlaku adil.

Apatah lagi, jika hal itu melibatkan wang, agihan ekonomi yang sepatutnya diterima oleh negeri yang diperintah pihak parti alternatif. Mereka masih lagi sukar mendapatkan wang peruntukan daripada kerajaan pusat.

Sebaliknya, kerajaan negeri cuba memberikan peruntukan ke atas wakil rakyat kerajaan pusat, namun hal itu ditolak oleh mereka dengan alasan yang bukan-bukan.

Contohnya, Dato' Azhar Ibrahim, Ketua Pembangkang Pulau Pinang pada 14 November lalu menolak elaun RM1,000 sebulan dengan alasan bahawa dia tak mahu membazirkan wang rakyat walaupun pada hakikatnya Umno punya rekod buruk dalam membazirkan wang rakyat sebelum ini.

Antara lain, dakwa beliau, beliau tidak mahu terhutang budi. Ini satu fahaman yang silap. Elaun tersebut diberikan supaya dapat dia pulangkan wang itu untuk rakyat juga, bukan untuk dirinya sendiri.

Samada beliau berbuat demikian untuk mendapat simpati orang-ramai atau elaun itu tidak mencukupi baginya, Allahu'alam.. Tapi, apa yang pasti ialah, kerajaan Pulau Pinang yang beriltizam mencontohi sikap Umar Abdul Aziz telah cuba memberikan keadilan terhadap lawan parti politik mereka melalui peruntukan itu.

Kita tak perlu meninjau sikap para pemimpin terdahulu untuk muhasabah, cukup melalui apa sahaja contoh yang terbentang di depan mata kita. Kita tidak perlu beramal dengan isi al-Qur'an secara keseluruhan untuk menjadi pemimpin yang terbaik. Cukup dengan cara melihat apakah kita mampu melaksanakan pesan Abdul Malik bin Marwan itu?