Islam Batu Sapi dan UMNO Galas bantah calon BN





KUALA LUMPUR, 25 Okt: Ketika penyokong BN yang mewakili 60.1 peratus pengundi Bumiputra Islam di Batu Sapi membuat bantahan secara terbuka terhadap BN kerana memilih calon bukan di kalangan mereka, penyokong Umno di Galas memprotes dalam diam pemilihan orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon di situ.

Di Sandakan, 500 ahli PBS dari bahagian Sekong membantah pencalonan Linda Tsen Thau Lin, balu Edmund Chong Ket Wah, bakas anggota Parlimen, sebagai calon BN di Batu Sapi.

Mereka datang dengan beberapa buah bas yang penuh dengan bendera dan banner mendesak agar calon di kalangan Bumiputra Islam dipilih sebagai calon. Ini kerana, Batu Sapi mempunyai 60.1 peratus pengundi di kalangan Bumiputra Islam.

Mereka mendakwa, mendiang Edmund tidak pernah memperdulikan mereka sejak dipilih sebagai wakil rakyat Batu Sapi pada tahun 2004 lalu.

"Bagaimana mungkin seorang perempuan pula mahu masuk ke kawasan kampung air kami kalau sebelum ini lelaki pun tidak menjenguh kami," kata salah seorang dari mereka yang membuat bantahan itu.

Terdapat 26,000 pengundi di Batu Sapi dengan pecahan pengundi Melayu 32 peratus, Cina 38 peratus India 0.5 peratus, Bumiputera Islam Sabah 26 peratus, Bumiputera Sarawak 0.5 peratus dan lain-lain 2.6 peratus.

Umno lawan Ku Li

Di Gua Musang, penentangan secara senyap mula berjalan di kalangan Umno Gua Musang yang semakin bimbang dengan beberapa tindakan penyokong Ku Li dari kalangan bekas Semangat 46 itu.

Bantahan ini dibuat ekoran pemilihan Setiausaha Umno Gua Musang, Abdul Aziz Yusof atau lebih dikenali dengan nama Aziz Limau (kerana berasal dari Limau Kasturi) sebagai calon BN.

Dalam pemilihan bahagian tahun lepas, bekas Ketua Bahagian Umno Saufi Deraman yang memberikan laluan kepada Ku Li untuk menjadi ketua bahagian selepas menyertai semula Umno, dikalahkan oleh orang kuat Ku Li dalam pertandingan merebut timbalan ketua bahagian.

Namun begitu, penyokong asal Umno ini kekal menguasai Wanita dan Pemuda Umno Bahagian. Ketua Wanita Umno bahagian, Datuk Wan Hazani Wan Yusof dan Bazlan Baharudin, Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang. Kedua-duanya penyokong Umno negeri dan pusat serta tidak bersama Ku Li.

Di samping kedua-duanya, ada 11 AJK Bahagian yang menjadi penyokong mereka. Pendek kata, terdapat garisan yang jelas dalam Umno Gua Musang antara penyokong Ku Li dan penyokong Umno.

"Kami nak Saufi Deraman bekas Adun kami bertanding sekali lagi. Lagipun dia yang bertungkus lumus berjuang untuk Umno sebelum ini ketika Ku Li memimpin Semangat 46. Tapi selepas Ku Li dipilih sebagai pengarah, orang dia juga jadi calon, " kata seorang ahli Umno yang ditemui di bandar Gua Musang.

Beliau merujuk tindakan Saufi, yang ketika itu menjadi ketua bahagian, memberikan laluan untuk Ku Li menjadi Ketua Umno bahagian Gua Musang apabila Ku Li kembali semula ke dalam Umno.

Pada asalnya, Saufi sebagai ketua bahagian dilantik sebagai timbalan ketua bahagian. Namun dalam mesyuarat agung yang lalu, orang Ku Li telah melawan beliau dan seterusnya mengalah Saufi untuk jawatan timbalan ketua bahagian.

Luka itu berdarah sejak pilihan raya umum 2008 lagi apabila Saufi menjadi satu-satu pemimpin Umno Gua Musang yang kalah dalam pilihan raya tersebut. Mereka syak Saufi ditikam dari belakang oleh penyokong Ku Li.

Saufi kalah kepada Chek Hashim Sulaima dari PAS. Che Hashim meninggal baru-baru ini menyebabkan pilihan raya kecil akan diadakan pada 4 November nanti.

"Kalau Saufi tidak diterimapun, Datuk Hazani kito atau Bazlan pun boleh jadi calon," kata pemimpin Umno berkenaan.


Dr Zul kalahkan Ku Li di Galas

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS, Dr Zulkefli Muhamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 317 undi untuk Dun Galas dalam pertembungan mereka untuk merebut kerusi Parlimen Gua Musang.

Namun Ku Li memenangi kerusi itu selepas menang lebih besar di dua Dun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri yang juga terletak di bawah Parlimen Gua Musang.

Menurut kajian sebuah badan bebas, pengaruh peribadi Ku Li hanya 30 peratus sahaja di Gua Musang. Selebihnya adalah sokongan daripada Umno. Jika Ku Li bukan calon dalam pilihan raya ini, bermakna pengaruh peribadi itu akan hilang.

Seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya ini dengan Melayu berjumlah 7,123 atau 61.67 peratus dari jumlah pemilih itu. Cina 2317 (20.06 peratus), Orang Asli 1,889 (16.35 peratus) manakala India 185 (1.6 peratus)./mimpi senja

Wahai Pemuda! Yakin dan Sampaikan Perjuangan PAS



Pemuda PAS mesti yakin dan optimis dengan perjuangan Islam yang didokongi oleh PAS dan ia mesti dikemukakan kepada semua pihak termasuk bukan Islam ‘non muslim’ secara jujur dan berani.


Islam adalah satu untuk semua dan tidak ada yang berlain pakej antara satu sama lain.

Namun, PAS perlu realistik dalam merealisasikan gagasan Malaysia Baru mengikut kerangka kepelbagaian kaum di negara ini.

Sesungguhnya, tidak ada Islam yang berlainan pakej untuk dikemukakan kepada rakan-rakan kita (rakyat) dari kalangan ‘non muslim’.

Islam mesti disampaikan berasaskan hikmah dan dalam penyampaian risalah Islam kepada masyarakat golongan non-muslim, mereka bukanlah musuh tetapi mad’u (sasaran).

Oleh itu, usahlah PAS bermusuh dengan mereka (non-muslim) kerana mereka adalah madu’u (sasaran) kita (PAS) malah rapatkan jurang prejudis ‘non muslim’ terhadap PAS

Justeru itu, medium penerangan parti mesti diperkasakan serta dipelbagaikan.

Gerakan ziarah mesti di aktifkan, berdakwah, pentas dialog peradaban dan program silang budaya dalam masyarakat meti diadakan.

Apa yang penting, semua pendekatan tersebut perlu mematuhi prinsip, akhlak dan disiplin ‘Tahaaluf Siyasi’.


*Intipati ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan, ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Maknakan Kemenangan’ pada program Munaqasyah Pemuda PAS Terengganu di Masjid at-Taqwa Batu Enam, dihadiri 150 orang peserta, Sabtu 25 September.

Hadapi PRK Galas Dengan Kekuatan Sendiri





KUALA LUMPUR, 1 Okt: PAS mesti bersedia menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya kecil Galas dengan kekuatan sendiri, kata Naib Presiden PAS yang juga pengarah pilihan raya itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Atas dasar itu, isu samada Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas atau tidak, tidak berbangkit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim adalah pengarah pilihan raya ini secara automatik bagi PAS kerana parti itu telah membuat pendekatan tetap untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil.

Perkara ini disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam majlis hari raya Harakahdaily semalam.

Melaui pendekatan itu, seorang naib presiden PAS akan menjadi pengarah pilihan raya kecil untuk kawasan masing-masing. Datuk Mahfuz Omar menjadi pengarah jika berlaku di utara, Salahudin Ayub di selatan dan Tuan Ibrahim di timur.

Sebelum ini, Mahfuz menjadi pengarah pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Salahudin menjadi pengarah dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagi Tuan Ibrahim, isu Ku Li menjadi topik utama media kini, hanyalah satu percaturan peribadi beliau, dan berdasarkan beberapa tindakan mutakhir beliau yang dilihat tidak lagi menjadi pengikut setia BN.

Ini ekoran pendirian beliau dalam isu royalti minyak Kelantan, isu rasuah, perancangan ekonomi negara dan keyakinan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara.

Walaubagaimanapun bertolak di atas beberapa kenyataan Ku Li bahawa beliau tetap akan bersama UMNO dan akan kekal bersama UMNO, PAS mestilah berusaha untuk menyusun kekuatan parti bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRK kali ini, kata Tuan Ibrahim.

"PAS menyedari pengaruh dan kekuatan Ku Li dalam kawasan Gua Musang, tetapi ini bukan bermakna beliau terlalu kebal untuk ditewaskan. Pengalaman PRU ke 12, dengan kejayaan PAS menawan DUN Galas dari BN adalah petanda bahawa pengaruh beliau semakin berkurangan, dan pengundi bertambah matang dalam membuat pilihan," katanya.

Menurut beliau, dalam PRK kali ini, PAS memerlukan satu pendekatan baru dalam gerak kerja pilihanraya kecil kali ini.

Oleh kerana calon PAS hanya mendapat kemenangan tipis 636 dalam PRU lalu, maka tumpuan semua parti politik ialah bagi menarik pengundi atas pagar yang akan menjadi penentu kepada keputusan yang akan berlaku, katanya.

Dengan status pengundi bercampur, di mana pengundi dari kalangan masyarakat Asli dan Cina dilihat penting, maka tumpuan tentulah diberi kepada golongan ini; dan pengalaman PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun mampu dijadikan daya penarik bagi mendapatkan sokongan mereka, tambahnya.

Bagi beliau, faktor calon mengatasi parti yang berlaku di DUN Manik Urai serta kegagalan tokoh luar mencorakkan mood dan sentimen pengundi dilihat masih menjadi fokus gerak kerja parti yang bertanding.

Lantaran itu, katanya, pemilihan calon kali ini teramat penting kerana pengundi di kawasan Galas akan merasai kehadiran wakil rakyat selepas berakhirnya PRK.

Mereka tentulah tidak ingin mendapat seorang wakil rakyat yang hanya menunjukkan muka apabila memerlukan undi, tetapi ghaib selepas diumumkan sebagai pemenang.

"Budaya masyarakat Kelantan yang suka bergelumang dengan pimpinan dilihat antara elemen penting kenapa mereka memilih YB Arwah Che Hashim dalam PRU lalu," katanya.

Apa yang menarik juga ialah kepesatan pembangunan Bandar Gua Musang dilihat antara kejayaan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Keghairahan untuk membangunkan kawasan ini antara kerajaan negeri di bawah PAS dan Kesedar diterajui kerajaan Pusat akan menceriakan lagi PRK kali ini.

Apapun PAS dengan seluruh jentera parti di seluruh negara telah bersedia membantu bagi mengekalkan kemenangan di DUN Galas, bagi mengalaskan kemenangan di sana, katanya.

PAS Parti Memimpin, Bukan Dipinggirkan



MARANG, 2 Okt: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan apabila mencapai kemenangan.

Sehubungan itu, beliau selaku Presiden PAS tidak mahu kesilapan yang lepas berulang di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, sewaktu negara dijajah, kumpulan Islam di depan menentang penjajah tetapi setelah merdeka, mereka dipinggirkan.

“Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang,” tegasnya ketika merasmikan Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2010 di Masjid Rusila, malam tadi.

Hadir sama pada ijtima’ yang disertai sekitar 5,000 pemuda itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Justeru, tambahnya PAS mempunyai wawasan yang panjang iaitu dari dunia sehingga akhirat, bukan setakat 2020.

Ini, katanya kerana perjuangan PAS adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala.

“Kalau tanya ahli PAS yang bebal pun, mengapa sokong PAS, mereka kata nak pahala, mengharapkan keredhaan Allah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, perkara itu tidak diharapkan oleh pihak musuh kerana mereka berjuang untuk mendapatkan bantuan dan kebendaan.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen menekankan supaya ahli dan penyokong PAS hendaklah sentiasa ditarbiah bagi meneruskan perjuangan Islam untuk meruntuhkan jahiliah.

Katanya, golongan yang memperjuangkan Islam sejak zaman nabi-nabi terdahulu ditarbiah dengan berbagai ujian dan kezaliman sehingga ada di kalangan mereka yang dibunuh.

Beliau menambah, keperitan yang dirasai akibat dizalimi oleh golongan jahiliah menyebabkan golongan Islam tidak melakukan kezaliman apabila mereka mendapat kuasa.

“Kita perit rasa dizalimi, kalau kita perintah, kita tidak melakukan kezaliman,” ujarnya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi juga menegur ahli PAS yang mahukan kemenangan yang cepat di dalam pilihan raya tetapi melakukan kerja dalam masa yang singkat.

Ini, katanya kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh rasul-rasul juga memakan masa untuk mencapai kejayaan.

Beliau mengambil contoh perjuangan Nabi Musa dan Harun memakan masa 40 tahun walaupun doa mereka diperkenankan oleh Allah untuk menumbangkan Firaun.

Begitu juga, katanya perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. juga mengambil masa 23 tahun untuk menegakkan Islam dan meruntuhkan jahiliah.

“Nak menang pilihan raya, buat kerja seminggu. Bubar parlimen baru buat kerja, sekarang tak buat kerja,” ujarnya sambil menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS sentiasa melaksanakan tugas masing-masing.