Dewan Negara hari ini mendedahkan terdapat seramai 127 banduan di bawah umur 18 tahun sedang ditahan di penjara di seluruh negara.


Jumlah tersebut berdasarkan perangkaan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) yang dikeluarkan pada 1 Julai 2008, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Wan Farid Wan Salleh, pagi tadi.

Daripada jumlah tersebut, 93 daripadanya dalam kategori reman atau sedang menunggu perbicaraan.

"Reman juvana ini terdiri daripada 80 lelaki dan 13 perempuan yang ditahan kerana berbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen, Akta Dadah Merbahaya, Peraturan Pendaftaran Negara, Kanun Keseksaan, dan lain-lain," kata beliau ketika sesi soal jawab, di Parlimen.

Beliau menambah, bagi banduan yang sudah disabitkan bersalah ialah seramai 34 orang, di mana 24 daripadanya lelaki, manakala bakinya seramai 10 orang adalah perempuan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Dato' Wira Syed Ali Alhabshee, Wan Farid berkata kerajaan tidak bercadang untuk menjatuhkan hukuman kepada ibu bapa atau penjaga kepada pesalah juvana tersebut.

"Seperti yang sedia maklum, kebanyakan banduan juvana ini terdiri daripada keluarga yang terpisah, bermasalah yang mengakbatkan mereka melakukan jenayah. Setakat ini kerajaan hanya memberi penumpuan kepada pemulihan banduan tersebut dan bukan menghukum ibu bapa banduan terbabit,"katanya.