Kenaikan harga bahan bakar dan gula telah diumumkan oleh pihak kerajaan dalam sidang parlimen yang berakhir kelmarin. Perdana Menteri Malaysia, Mohd Najib Razak telah mengumumkan sebab dan tujuan kenaikan harga bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG) serta gula, yang diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi.
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengakui, penarikan subsidi ini sememangnya akan menjimatkan perbelanjaan negara seperti yang dipetik daripada ucapan Perdana Menteri (gambar kiri) bahawa negara akan menjimatkan kira-kira 750 juta untuk tahun ini. Namun, yang menjadi kekesalan di peringkat SMM ialah penjimatan ini juga bakal membebankan rakyat, khususnya rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah, yang juga merupakan majoriti rakyat Malaysia.
Isu berkenaan subsidi ini telah lama diperbincangkan. Sebahagian daripada rakyat tidak bersetuju dan sebahagian daripadanya bersetuju. Bagi SMM, subsidi ini adalah tanggungjawab negara. Negara harus seberapa banyak juga menyediakan belanja untuk menampung keperluan rakyat ini.
Sekalipun subsidi ini dirasakan perlu untuk membantu perjalanan ekonomi negara, maka ia tidak seharusnya ditarik melalui bahan seperti minyak dan gula. Ini kerana ia akan menyebabkan kesan yang buruk kepada rakyat. Kesan ini adalah Domino Effect yang akan berlanjutan dan menyusahkan masyarakat khususnya rakyat yang tidak berkemampuan.
Minyak akan mempertingkatkan setiap kos barangan dan menyebabkan kenaikan harga barangan kebanyakan barang-barang keperluan. Begitu juga gula yang merupakan keperluan asas masyarakat. Hal ini telah terbukti apabila Syarikat F&N Dairies (M) Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga produknya kemungkinan akan turut naik disebabkan keputusan kerajaan ini.
Bagi SMM, hal ini bukan lagi kemungkinan tetapi pasti. Kesan kenaikan ini akan dirasai oleh setiap rakyat Malaysia.
Dalam konteks kesungguhan kerajaan pimpinan Perdana Menteri untuk mengurangkan beban subsidi ini bagi menjimatkan perbelanjaan negara, di peringkat SMM juga serius untuk mencadangkan agar keistimewaan-keistimewaan yang diperoleh oleh menteri-menteri dan seluruh anggota kabinet pimpinan beliau sendiri seperti pemberian AP, pengecualian tol dan minyak kenderaan rasmi, juga ditarik balik sebagai satu usaha bersama dengan rakyat untuk "menjimatkan perbelanjaan" negara.
Di samping itu, SMM juga melahirkan kekesalan yang tidak terhingga terhadap reaksi lucu kerajaan pimpinan Perdana Menteri dengan usaha untuk "menasihati" Pengarang dan editor media arus perdana beberapa jam sebelum pengumuman kenaikan harga barang, untuk sekadar menggunakan terma "pelarasan harga" dan "rasionalisasi subsidi" serta dilarang menggunakan terma "barang naik" bagi menggambarkan situasi yang berlaku. Hal ini pada hemat SMM merupakan cubaan secara halus untuk merendah-rendahkan nilai intelek serta kesedaran warga Malaysia dan menutup kefahaman sebenar berkenaan hakikat yang dialami oleh seluruh masyarakat.
SMM juga dengan kesedaran yang penuh atas kapasiti sebagai warganegara yang sedar dengan pola keputusan yang tidak sihat ini, akan bersama-sama dengan seluruh lapisan masyarakat membantah kenaikan harga barang ini. Dan pastinya kami juga menyeru kepada mahasiswa dan seluruh anak muda Malaysia untuk bersama-sama bangkit di atas keperitan hidup di kala sebilangan kelompok di kalangan elit penguasa tidak langsung merasai kesan keputusan yang besar ini.
*Kenyataan media daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
0 comments:
Catat Ulasan