SHAH ALAM, 13 Mac: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat Umno Selangor dan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) yang menyumbang lebih setengah juta dalam misi menghantar pelajar Malaysia kembali ke Mesir.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, tindakan itu sangat menghairankan kerana Umno Bahagian Shah Alam masih mempunyai hutang tertunggak melebihi RM236,000 dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak lebih setahun lalu.
"Jika Umno Selangor berkobar-kobar membelanjakan lebih setengah juta untuk sumbangan itu, mengapa tidak pula bersungguh-sungguh untuk melunaskan hutang dengan MBSA.
"Kerajaan Selangor akan meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyenaraikan semua hutang UMNO kepada PBT dan melakukan tuntutan dalam tempoh dua minggu," katanya.
Beliau mengulas tindakan kedua-duanya yang didakwa menyumbang wang tunai RM500 kepada pelajar yang dihantar kembali ke Mesir oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu menghantar 1,200 pelajar dari negeri ini termasuk membelanjakan lebih RM2 juta untuk membiayai kos menghantar pulang mereka menggunakan pesawat yang ditempah khas.
Ujarnya lagi, kes ini juga turut menuntut tindakan SPRM untuk menunjukkan amalan telus dan kebertanggungjawaban mereka agar tidak lagi dilihat 'double standard'.
Apatah lagi katanya, SPRM begitu bersemangat menyiasat laporan Umno yang menuduh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) membelanjakan wang meraikan tetamu-tetamu Kerajaan Negeri dari Sabah dan Sarawak sebelum ini.
"Kita mahu bertanyakan isu yang sama kepada Umno Selangor, dari manakah mereka dan YKE memperoleh begitu banyak dana untuk membiayai sumbangan ini?
"Apakah aset dan perniagaan yang dijalankan oleh YKE sehingga mampu untuk bekerjasama dengan Umno Selangor menghulurkan sumbangan?, "soal Faekah.
Selangor mahu Umno Selangor, Yayasan Kelana Ehsan disiasat
Author: Mohd Zuhdi bin Yahaya Posted under:
0 Comments


Assalamualaikum,maklumat terbaru tentang penyebaran buku tulisan Ezam Mohd Nor dan buku yang memburukkan peribadi pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Anwar Ibrahim yang sedang dijaja di seluruh Mesir oleh Pegawai Atase Pendidikan ,Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah,Mesir.
Buku yang berjudul Islam & Persoalan Rasuah ini lebih kepada untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Pakatan Rakyat yang memerintah negeri-negeri di Malaysia yang dianggap berlaku rasuah dalam pentadbiran Pakatan Rakyat sedangkan Barisan Nasional yang sudah membarah rasuah dalam pentadbiran tidak pula ditegur ataupun dikritik oleh penulis.Jika benarlah Ezam betul-betul ingin membanteras rasuah, mulakan dahulu daripada pemerintah Malaysia di bawah UMNO/BN yang telah nyata berlaku bermacam-macam jenis rasuah dan penyelewengan.Buku ini banyak menerangkan rasuan dari sudut agama dan memperkenalkan badan yang terlibat dalam membanteras rasuah di Malaysia.
Buku yang berjudul Selamatkan Umat Islam Di Malaysia Menyanggah Pluralisme Agama yang tiada dicatat nama pengarang pula menerbitkan semula kenyataan Dato Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu yang dianggap ucapan beliau yang menyamaratakan semua agama.Sebenarnya Malaysia sudah lama berada dalam keadaan bahaya bilamana pelbagai fahaman yang dimasukkan leh UMNO/BN sebelum daripada kemerdekaan.UMNO/BN sebenarnya yang menjadi peneraju kepada segala fahaman salah dan sesat.Inilah yang puncanya bilamana Islam tidak diletakkan paling tinggi daripada segalanya.
Kesimpulannya,marilah sama-sama kita memberi sokongan kepada Parti Islam Se-Malaysia yang Insya Allah akan mendaulatkan agama Islam di tanah air yang kita cintai iaitu Malaysia.Selagimana Islat tidak ditegakkan di aas muka bumi,selagi itulah akan berlaku kemafsadatan dan bala yang akan melanda.Mudah-mudahan kita semua diberikan oleh Allah kesedaran Islam dalam diri kita untuk melaksanakan tanggungjawab kita selaku hamba Allah di atas muka bumi ini.Amin Ya Rabb.Wallahua'lamu bissowab,wassalam.

Parti Islam Se-Malaysia PAS, menegaskan memang Umno peralatkan agama dan peralatkan orang agama. Ia bukan merupakan fitnah, tetapi kenyataan. Mereka gunakan isu agama apabila penduduknya kuat berpegang dengan agama seperti di Galas. Ustaz-ustaz Umno disuruh berkempen untuk menghalalkan apa yang Umno buat. Merekalah orang yang mencari dalil untuk menghalalkan arak, judi dan program maksiat yang ditaja oleh kerajaan Umno BN.
Ketika Datin Rosmah Mansur menjadi penaung kepada Festival Fesyen Islam di Monte Carlo Monarco pada 9 Ogos 2010. Orang agama di dalam Umno membisu, seolah-olah mulut penuh dengan sagon, tidak berani tegur. Mana suara ustaz Umno apabila kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP). Banyak lagi bukti orang agama di dalam Umno hanya menjadi tukang baca doa dan marhaban sahaja, tidak lebih daripada itu.
PAS mencabar Umno berikan bukti, peranan orang agama di dalam Umno berkesan untuk mempertahankan Islam dan menentang kemungkaran. Orang agama di dalam Umno hanyalah membesarkan tembolok sahaja. Mereka hanya mencari hujah untuk melawan dengan PAS. Hujah mereka mengenai orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid, ditolak dengan keputusan Majlis Fatwa kebangsaan sendiri yang mengharuskan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Hujah berkenaan dengan sumber judi telah makan diri sendiri. Rakyat mula berkata, Umno haram duit judi, tetapi halalkan lesen judi. Ke manakah pergi orang-orang agama di dalam Umno yang berkelulusan tinggi, antaranya ialah Dr Hamid Osman, Dr Abdullah Mohd Zin, Dr Yusuf Nor, Ustaz Zainal Abidin Abd Kadir, Datuk Dasuki Haji Ahmad, Ustaz Fadhil Hanafi, Dr Amran Kasimin. Persoalannya di manakah suara mereka sekarang. Perkasakan Islam di dalam Umno dahulu. Kenapakah isteri Presiden Umno tidak bertudung mereka membisu. Persoalannya tenangkah jiwa orang agama di dalam Umno yang bergelomang dengan parti yang menyuburkan maksiat. Ilmu yang mereka belajar bertentangan dengan parti yang mereka sertai. PAS menyeru supaya orang agama tinggalkan sahaja Umno, sertailah PAS. Habiskanlah sisa umur yang masih berbaki untuk Islam. Tidak ada makna kemewahan dunia, tetapi hati tidak tenang.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


KUALA LUMPUR, 25 Okt: Ketika penyokong BN yang mewakili 60.1 peratus pengundi Bumiputra Islam di Batu Sapi membuat bantahan secara terbuka terhadap BN kerana memilih calon bukan di kalangan mereka, penyokong Umno di Galas memprotes dalam diam pemilihan orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon di situ.
Di Sandakan, 500 ahli PBS dari bahagian Sekong membantah pencalonan Linda Tsen Thau Lin, balu Edmund Chong Ket Wah, bakas anggota Parlimen, sebagai calon BN di Batu Sapi.
Mereka datang dengan beberapa buah bas yang penuh dengan bendera dan banner mendesak agar calon di kalangan Bumiputra Islam dipilih sebagai calon. Ini kerana, Batu Sapi mempunyai 60.1 peratus pengundi di kalangan Bumiputra Islam.
Mereka mendakwa, mendiang Edmund tidak pernah memperdulikan mereka sejak dipilih sebagai wakil rakyat Batu Sapi pada tahun 2004 lalu.
"Bagaimana mungkin seorang perempuan pula mahu masuk ke kawasan kampung air kami kalau sebelum ini lelaki pun tidak menjenguh kami," kata salah seorang dari mereka yang membuat bantahan itu.
Terdapat 26,000 pengundi di Batu Sapi dengan pecahan pengundi Melayu 32 peratus, Cina 38 peratus India 0.5 peratus, Bumiputera Islam Sabah 26 peratus, Bumiputera Sarawak 0.5 peratus dan lain-lain 2.6 peratus.
Umno lawan Ku Li
Di Gua Musang, penentangan secara senyap mula berjalan di kalangan Umno Gua Musang yang semakin bimbang dengan beberapa tindakan penyokong Ku Li dari kalangan bekas Semangat 46 itu.
Bantahan ini dibuat ekoran pemilihan Setiausaha Umno Gua Musang, Abdul Aziz Yusof atau lebih dikenali dengan nama Aziz Limau (kerana berasal dari Limau Kasturi) sebagai calon BN.
Dalam pemilihan bahagian tahun lepas, bekas Ketua Bahagian Umno Saufi Deraman yang memberikan laluan kepada Ku Li untuk menjadi ketua bahagian selepas menyertai semula Umno, dikalahkan oleh orang kuat Ku Li dalam pertandingan merebut timbalan ketua bahagian.
Namun begitu, penyokong asal Umno ini kekal menguasai Wanita dan Pemuda Umno Bahagian. Ketua Wanita Umno bahagian, Datuk Wan Hazani Wan Yusof dan Bazlan Baharudin, Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang. Kedua-duanya penyokong Umno negeri dan pusat serta tidak bersama Ku Li.
Di samping kedua-duanya, ada 11 AJK Bahagian yang menjadi penyokong mereka. Pendek kata, terdapat garisan yang jelas dalam Umno Gua Musang antara penyokong Ku Li dan penyokong Umno.
"Kami nak Saufi Deraman bekas Adun kami bertanding sekali lagi. Lagipun dia yang bertungkus lumus berjuang untuk Umno sebelum ini ketika Ku Li memimpin Semangat 46. Tapi selepas Ku Li dipilih sebagai pengarah, orang dia juga jadi calon, " kata seorang ahli Umno yang ditemui di bandar Gua Musang.
Beliau merujuk tindakan Saufi, yang ketika itu menjadi ketua bahagian, memberikan laluan untuk Ku Li menjadi Ketua Umno bahagian Gua Musang apabila Ku Li kembali semula ke dalam Umno.
Pada asalnya, Saufi sebagai ketua bahagian dilantik sebagai timbalan ketua bahagian. Namun dalam mesyuarat agung yang lalu, orang Ku Li telah melawan beliau dan seterusnya mengalah Saufi untuk jawatan timbalan ketua bahagian.
Luka itu berdarah sejak pilihan raya umum 2008 lagi apabila Saufi menjadi satu-satu pemimpin Umno Gua Musang yang kalah dalam pilihan raya tersebut. Mereka syak Saufi ditikam dari belakang oleh penyokong Ku Li.
Saufi kalah kepada Chek Hashim Sulaima dari PAS. Che Hashim meninggal baru-baru ini menyebabkan pilihan raya kecil akan diadakan pada 4 November nanti.
"Kalau Saufi tidak diterimapun, Datuk Hazani kito atau Bazlan pun boleh jadi calon," kata pemimpin Umno berkenaan.
Dr Zul kalahkan Ku Li di Galas
Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS, Dr Zulkefli Muhamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 317 undi untuk Dun Galas dalam pertembungan mereka untuk merebut kerusi Parlimen Gua Musang.
Namun Ku Li memenangi kerusi itu selepas menang lebih besar di dua Dun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri yang juga terletak di bawah Parlimen Gua Musang.
Menurut kajian sebuah badan bebas, pengaruh peribadi Ku Li hanya 30 peratus sahaja di Gua Musang. Selebihnya adalah sokongan daripada Umno. Jika Ku Li bukan calon dalam pilihan raya ini, bermakna pengaruh peribadi itu akan hilang.
Seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya ini dengan Melayu berjumlah 7,123 atau 61.67 peratus dari jumlah pemilih itu. Cina 2317 (20.06 peratus), Orang Asli 1,889 (16.35 peratus) manakala India 185 (1.6 peratus)./mimpi senja

Pemuda PAS mesti yakin dan optimis dengan perjuangan Islam yang didokongi oleh PAS dan ia mesti dikemukakan kepada semua pihak termasuk bukan Islam ‘non muslim’ secara jujur dan berani.
Islam adalah satu untuk semua dan tidak ada yang berlain pakej antara satu sama lain.
Namun, PAS perlu realistik dalam merealisasikan gagasan Malaysia Baru mengikut kerangka kepelbagaian kaum di negara ini.
Sesungguhnya, tidak ada Islam yang berlainan pakej untuk dikemukakan kepada rakan-rakan kita (rakyat) dari kalangan ‘non muslim’.
Islam mesti disampaikan berasaskan hikmah dan dalam penyampaian risalah Islam kepada masyarakat golongan non-muslim, mereka bukanlah musuh tetapi mad’u (sasaran).
Oleh itu, usahlah PAS bermusuh dengan mereka (non-muslim) kerana mereka adalah madu’u (sasaran) kita (PAS) malah rapatkan jurang prejudis ‘non muslim’ terhadap PAS
Justeru itu, medium penerangan parti mesti diperkasakan serta dipelbagaikan.
Gerakan ziarah mesti di aktifkan, berdakwah, pentas dialog peradaban dan program silang budaya dalam masyarakat meti diadakan.
Apa yang penting, semua pendekatan tersebut perlu mematuhi prinsip, akhlak dan disiplin ‘Tahaaluf Siyasi’.
*Intipati ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan, ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Maknakan Kemenangan’ pada program Munaqasyah Pemuda PAS Terengganu di Masjid at-Taqwa Batu Enam, dihadiri 150 orang peserta, Sabtu 25 September.


KUALA LUMPUR, 1 Okt: PAS mesti bersedia menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya kecil Galas dengan kekuatan sendiri, kata Naib Presiden PAS yang juga pengarah pilihan raya itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Atas dasar itu, isu samada Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas atau tidak, tidak berbangkit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim adalah pengarah pilihan raya ini secara automatik bagi PAS kerana parti itu telah membuat pendekatan tetap untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil.
Perkara ini disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam majlis hari raya Harakahdaily semalam.
Melaui pendekatan itu, seorang naib presiden PAS akan menjadi pengarah pilihan raya kecil untuk kawasan masing-masing. Datuk Mahfuz Omar menjadi pengarah jika berlaku di utara, Salahudin Ayub di selatan dan Tuan Ibrahim di timur.
Sebelum ini, Mahfuz menjadi pengarah pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Salahudin menjadi pengarah dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.
Bagi Tuan Ibrahim, isu Ku Li menjadi topik utama media kini, hanyalah satu percaturan peribadi beliau, dan berdasarkan beberapa tindakan mutakhir beliau yang dilihat tidak lagi menjadi pengikut setia BN.
Ini ekoran pendirian beliau dalam isu royalti minyak Kelantan, isu rasuah, perancangan ekonomi negara dan keyakinan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara.
Walaubagaimanapun bertolak di atas beberapa kenyataan Ku Li bahawa beliau tetap akan bersama UMNO dan akan kekal bersama UMNO, PAS mestilah berusaha untuk menyusun kekuatan parti bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRK kali ini, kata Tuan Ibrahim.
"PAS menyedari pengaruh dan kekuatan Ku Li dalam kawasan Gua Musang, tetapi ini bukan bermakna beliau terlalu kebal untuk ditewaskan. Pengalaman PRU ke 12, dengan kejayaan PAS menawan DUN Galas dari BN adalah petanda bahawa pengaruh beliau semakin berkurangan, dan pengundi bertambah matang dalam membuat pilihan," katanya.
Menurut beliau, dalam PRK kali ini, PAS memerlukan satu pendekatan baru dalam gerak kerja pilihanraya kecil kali ini.
Oleh kerana calon PAS hanya mendapat kemenangan tipis 636 dalam PRU lalu, maka tumpuan semua parti politik ialah bagi menarik pengundi atas pagar yang akan menjadi penentu kepada keputusan yang akan berlaku, katanya.
Dengan status pengundi bercampur, di mana pengundi dari kalangan masyarakat Asli dan Cina dilihat penting, maka tumpuan tentulah diberi kepada golongan ini; dan pengalaman PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun mampu dijadikan daya penarik bagi mendapatkan sokongan mereka, tambahnya.
Bagi beliau, faktor calon mengatasi parti yang berlaku di DUN Manik Urai serta kegagalan tokoh luar mencorakkan mood dan sentimen pengundi dilihat masih menjadi fokus gerak kerja parti yang bertanding.
Lantaran itu, katanya, pemilihan calon kali ini teramat penting kerana pengundi di kawasan Galas akan merasai kehadiran wakil rakyat selepas berakhirnya PRK.
Mereka tentulah tidak ingin mendapat seorang wakil rakyat yang hanya menunjukkan muka apabila memerlukan undi, tetapi ghaib selepas diumumkan sebagai pemenang.
"Budaya masyarakat Kelantan yang suka bergelumang dengan pimpinan dilihat antara elemen penting kenapa mereka memilih YB Arwah Che Hashim dalam PRU lalu," katanya.
Apa yang menarik juga ialah kepesatan pembangunan Bandar Gua Musang dilihat antara kejayaan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Keghairahan untuk membangunkan kawasan ini antara kerajaan negeri di bawah PAS dan Kesedar diterajui kerajaan Pusat akan menceriakan lagi PRK kali ini.
Apapun PAS dengan seluruh jentera parti di seluruh negara telah bersedia membantu bagi mengekalkan kemenangan di DUN Galas, bagi mengalaskan kemenangan di sana, katanya.

MARANG, 2 Okt: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan apabila mencapai kemenangan.
Sehubungan itu, beliau selaku Presiden PAS tidak mahu kesilapan yang lepas berulang di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila negara mencapai kemerdekaan.
Katanya, sewaktu negara dijajah, kumpulan Islam di depan menentang penjajah tetapi setelah merdeka, mereka dipinggirkan.
“Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang,” tegasnya ketika merasmikan Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2010 di Masjid Rusila, malam tadi.
Hadir sama pada ijtima’ yang disertai sekitar 5,000 pemuda itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi.
Justeru, tambahnya PAS mempunyai wawasan yang panjang iaitu dari dunia sehingga akhirat, bukan setakat 2020.
Ini, katanya kerana perjuangan PAS adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala.
“Kalau tanya ahli PAS yang bebal pun, mengapa sokong PAS, mereka kata nak pahala, mengharapkan keredhaan Allah,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, perkara itu tidak diharapkan oleh pihak musuh kerana mereka berjuang untuk mendapatkan bantuan dan kebendaan.
Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen menekankan supaya ahli dan penyokong PAS hendaklah sentiasa ditarbiah bagi meneruskan perjuangan Islam untuk meruntuhkan jahiliah.
Katanya, golongan yang memperjuangkan Islam sejak zaman nabi-nabi terdahulu ditarbiah dengan berbagai ujian dan kezaliman sehingga ada di kalangan mereka yang dibunuh.
Beliau menambah, keperitan yang dirasai akibat dizalimi oleh golongan jahiliah menyebabkan golongan Islam tidak melakukan kezaliman apabila mereka mendapat kuasa.
“Kita perit rasa dizalimi, kalau kita perintah, kita tidak melakukan kezaliman,” ujarnya lagi.
Tuan Guru Abdul Hadi juga menegur ahli PAS yang mahukan kemenangan yang cepat di dalam pilihan raya tetapi melakukan kerja dalam masa yang singkat.
Ini, katanya kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh rasul-rasul juga memakan masa untuk mencapai kejayaan.
Beliau mengambil contoh perjuangan Nabi Musa dan Harun memakan masa 40 tahun walaupun doa mereka diperkenankan oleh Allah untuk menumbangkan Firaun.
Begitu juga, katanya perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. juga mengambil masa 23 tahun untuk menegakkan Islam dan meruntuhkan jahiliah.
“Nak menang pilihan raya, buat kerja seminggu. Bubar parlimen baru buat kerja, sekarang tak buat kerja,” ujarnya sambil menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS sentiasa melaksanakan tugas masing-masing.

