Islam Batu Sapi dan UMNO Galas bantah calon BN





KUALA LUMPUR, 25 Okt: Ketika penyokong BN yang mewakili 60.1 peratus pengundi Bumiputra Islam di Batu Sapi membuat bantahan secara terbuka terhadap BN kerana memilih calon bukan di kalangan mereka, penyokong Umno di Galas memprotes dalam diam pemilihan orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon di situ.

Di Sandakan, 500 ahli PBS dari bahagian Sekong membantah pencalonan Linda Tsen Thau Lin, balu Edmund Chong Ket Wah, bakas anggota Parlimen, sebagai calon BN di Batu Sapi.

Mereka datang dengan beberapa buah bas yang penuh dengan bendera dan banner mendesak agar calon di kalangan Bumiputra Islam dipilih sebagai calon. Ini kerana, Batu Sapi mempunyai 60.1 peratus pengundi di kalangan Bumiputra Islam.

Mereka mendakwa, mendiang Edmund tidak pernah memperdulikan mereka sejak dipilih sebagai wakil rakyat Batu Sapi pada tahun 2004 lalu.

"Bagaimana mungkin seorang perempuan pula mahu masuk ke kawasan kampung air kami kalau sebelum ini lelaki pun tidak menjenguh kami," kata salah seorang dari mereka yang membuat bantahan itu.

Terdapat 26,000 pengundi di Batu Sapi dengan pecahan pengundi Melayu 32 peratus, Cina 38 peratus India 0.5 peratus, Bumiputera Islam Sabah 26 peratus, Bumiputera Sarawak 0.5 peratus dan lain-lain 2.6 peratus.

Umno lawan Ku Li

Di Gua Musang, penentangan secara senyap mula berjalan di kalangan Umno Gua Musang yang semakin bimbang dengan beberapa tindakan penyokong Ku Li dari kalangan bekas Semangat 46 itu.

Bantahan ini dibuat ekoran pemilihan Setiausaha Umno Gua Musang, Abdul Aziz Yusof atau lebih dikenali dengan nama Aziz Limau (kerana berasal dari Limau Kasturi) sebagai calon BN.

Dalam pemilihan bahagian tahun lepas, bekas Ketua Bahagian Umno Saufi Deraman yang memberikan laluan kepada Ku Li untuk menjadi ketua bahagian selepas menyertai semula Umno, dikalahkan oleh orang kuat Ku Li dalam pertandingan merebut timbalan ketua bahagian.

Namun begitu, penyokong asal Umno ini kekal menguasai Wanita dan Pemuda Umno Bahagian. Ketua Wanita Umno bahagian, Datuk Wan Hazani Wan Yusof dan Bazlan Baharudin, Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang. Kedua-duanya penyokong Umno negeri dan pusat serta tidak bersama Ku Li.

Di samping kedua-duanya, ada 11 AJK Bahagian yang menjadi penyokong mereka. Pendek kata, terdapat garisan yang jelas dalam Umno Gua Musang antara penyokong Ku Li dan penyokong Umno.

"Kami nak Saufi Deraman bekas Adun kami bertanding sekali lagi. Lagipun dia yang bertungkus lumus berjuang untuk Umno sebelum ini ketika Ku Li memimpin Semangat 46. Tapi selepas Ku Li dipilih sebagai pengarah, orang dia juga jadi calon, " kata seorang ahli Umno yang ditemui di bandar Gua Musang.

Beliau merujuk tindakan Saufi, yang ketika itu menjadi ketua bahagian, memberikan laluan untuk Ku Li menjadi Ketua Umno bahagian Gua Musang apabila Ku Li kembali semula ke dalam Umno.

Pada asalnya, Saufi sebagai ketua bahagian dilantik sebagai timbalan ketua bahagian. Namun dalam mesyuarat agung yang lalu, orang Ku Li telah melawan beliau dan seterusnya mengalah Saufi untuk jawatan timbalan ketua bahagian.

Luka itu berdarah sejak pilihan raya umum 2008 lagi apabila Saufi menjadi satu-satu pemimpin Umno Gua Musang yang kalah dalam pilihan raya tersebut. Mereka syak Saufi ditikam dari belakang oleh penyokong Ku Li.

Saufi kalah kepada Chek Hashim Sulaima dari PAS. Che Hashim meninggal baru-baru ini menyebabkan pilihan raya kecil akan diadakan pada 4 November nanti.

"Kalau Saufi tidak diterimapun, Datuk Hazani kito atau Bazlan pun boleh jadi calon," kata pemimpin Umno berkenaan.


Dr Zul kalahkan Ku Li di Galas

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS, Dr Zulkefli Muhamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 317 undi untuk Dun Galas dalam pertembungan mereka untuk merebut kerusi Parlimen Gua Musang.

Namun Ku Li memenangi kerusi itu selepas menang lebih besar di dua Dun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri yang juga terletak di bawah Parlimen Gua Musang.

Menurut kajian sebuah badan bebas, pengaruh peribadi Ku Li hanya 30 peratus sahaja di Gua Musang. Selebihnya adalah sokongan daripada Umno. Jika Ku Li bukan calon dalam pilihan raya ini, bermakna pengaruh peribadi itu akan hilang.

Seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya ini dengan Melayu berjumlah 7,123 atau 61.67 peratus dari jumlah pemilih itu. Cina 2317 (20.06 peratus), Orang Asli 1,889 (16.35 peratus) manakala India 185 (1.6 peratus)./mimpi senja

Wahai Pemuda! Yakin dan Sampaikan Perjuangan PAS



Pemuda PAS mesti yakin dan optimis dengan perjuangan Islam yang didokongi oleh PAS dan ia mesti dikemukakan kepada semua pihak termasuk bukan Islam ‘non muslim’ secara jujur dan berani.


Islam adalah satu untuk semua dan tidak ada yang berlain pakej antara satu sama lain.

Namun, PAS perlu realistik dalam merealisasikan gagasan Malaysia Baru mengikut kerangka kepelbagaian kaum di negara ini.

Sesungguhnya, tidak ada Islam yang berlainan pakej untuk dikemukakan kepada rakan-rakan kita (rakyat) dari kalangan ‘non muslim’.

Islam mesti disampaikan berasaskan hikmah dan dalam penyampaian risalah Islam kepada masyarakat golongan non-muslim, mereka bukanlah musuh tetapi mad’u (sasaran).

Oleh itu, usahlah PAS bermusuh dengan mereka (non-muslim) kerana mereka adalah madu’u (sasaran) kita (PAS) malah rapatkan jurang prejudis ‘non muslim’ terhadap PAS

Justeru itu, medium penerangan parti mesti diperkasakan serta dipelbagaikan.

Gerakan ziarah mesti di aktifkan, berdakwah, pentas dialog peradaban dan program silang budaya dalam masyarakat meti diadakan.

Apa yang penting, semua pendekatan tersebut perlu mematuhi prinsip, akhlak dan disiplin ‘Tahaaluf Siyasi’.


*Intipati ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan, ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Maknakan Kemenangan’ pada program Munaqasyah Pemuda PAS Terengganu di Masjid at-Taqwa Batu Enam, dihadiri 150 orang peserta, Sabtu 25 September.

Hadapi PRK Galas Dengan Kekuatan Sendiri





KUALA LUMPUR, 1 Okt: PAS mesti bersedia menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya kecil Galas dengan kekuatan sendiri, kata Naib Presiden PAS yang juga pengarah pilihan raya itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Atas dasar itu, isu samada Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas atau tidak, tidak berbangkit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim adalah pengarah pilihan raya ini secara automatik bagi PAS kerana parti itu telah membuat pendekatan tetap untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil.

Perkara ini disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam majlis hari raya Harakahdaily semalam.

Melaui pendekatan itu, seorang naib presiden PAS akan menjadi pengarah pilihan raya kecil untuk kawasan masing-masing. Datuk Mahfuz Omar menjadi pengarah jika berlaku di utara, Salahudin Ayub di selatan dan Tuan Ibrahim di timur.

Sebelum ini, Mahfuz menjadi pengarah pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Salahudin menjadi pengarah dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagi Tuan Ibrahim, isu Ku Li menjadi topik utama media kini, hanyalah satu percaturan peribadi beliau, dan berdasarkan beberapa tindakan mutakhir beliau yang dilihat tidak lagi menjadi pengikut setia BN.

Ini ekoran pendirian beliau dalam isu royalti minyak Kelantan, isu rasuah, perancangan ekonomi negara dan keyakinan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara.

Walaubagaimanapun bertolak di atas beberapa kenyataan Ku Li bahawa beliau tetap akan bersama UMNO dan akan kekal bersama UMNO, PAS mestilah berusaha untuk menyusun kekuatan parti bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRK kali ini, kata Tuan Ibrahim.

"PAS menyedari pengaruh dan kekuatan Ku Li dalam kawasan Gua Musang, tetapi ini bukan bermakna beliau terlalu kebal untuk ditewaskan. Pengalaman PRU ke 12, dengan kejayaan PAS menawan DUN Galas dari BN adalah petanda bahawa pengaruh beliau semakin berkurangan, dan pengundi bertambah matang dalam membuat pilihan," katanya.

Menurut beliau, dalam PRK kali ini, PAS memerlukan satu pendekatan baru dalam gerak kerja pilihanraya kecil kali ini.

Oleh kerana calon PAS hanya mendapat kemenangan tipis 636 dalam PRU lalu, maka tumpuan semua parti politik ialah bagi menarik pengundi atas pagar yang akan menjadi penentu kepada keputusan yang akan berlaku, katanya.

Dengan status pengundi bercampur, di mana pengundi dari kalangan masyarakat Asli dan Cina dilihat penting, maka tumpuan tentulah diberi kepada golongan ini; dan pengalaman PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun mampu dijadikan daya penarik bagi mendapatkan sokongan mereka, tambahnya.

Bagi beliau, faktor calon mengatasi parti yang berlaku di DUN Manik Urai serta kegagalan tokoh luar mencorakkan mood dan sentimen pengundi dilihat masih menjadi fokus gerak kerja parti yang bertanding.

Lantaran itu, katanya, pemilihan calon kali ini teramat penting kerana pengundi di kawasan Galas akan merasai kehadiran wakil rakyat selepas berakhirnya PRK.

Mereka tentulah tidak ingin mendapat seorang wakil rakyat yang hanya menunjukkan muka apabila memerlukan undi, tetapi ghaib selepas diumumkan sebagai pemenang.

"Budaya masyarakat Kelantan yang suka bergelumang dengan pimpinan dilihat antara elemen penting kenapa mereka memilih YB Arwah Che Hashim dalam PRU lalu," katanya.

Apa yang menarik juga ialah kepesatan pembangunan Bandar Gua Musang dilihat antara kejayaan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Keghairahan untuk membangunkan kawasan ini antara kerajaan negeri di bawah PAS dan Kesedar diterajui kerajaan Pusat akan menceriakan lagi PRK kali ini.

Apapun PAS dengan seluruh jentera parti di seluruh negara telah bersedia membantu bagi mengekalkan kemenangan di DUN Galas, bagi mengalaskan kemenangan di sana, katanya.

PAS Parti Memimpin, Bukan Dipinggirkan



MARANG, 2 Okt: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan apabila mencapai kemenangan.

Sehubungan itu, beliau selaku Presiden PAS tidak mahu kesilapan yang lepas berulang di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, sewaktu negara dijajah, kumpulan Islam di depan menentang penjajah tetapi setelah merdeka, mereka dipinggirkan.

“Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang,” tegasnya ketika merasmikan Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2010 di Masjid Rusila, malam tadi.

Hadir sama pada ijtima’ yang disertai sekitar 5,000 pemuda itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Justeru, tambahnya PAS mempunyai wawasan yang panjang iaitu dari dunia sehingga akhirat, bukan setakat 2020.

Ini, katanya kerana perjuangan PAS adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala.

“Kalau tanya ahli PAS yang bebal pun, mengapa sokong PAS, mereka kata nak pahala, mengharapkan keredhaan Allah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, perkara itu tidak diharapkan oleh pihak musuh kerana mereka berjuang untuk mendapatkan bantuan dan kebendaan.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen menekankan supaya ahli dan penyokong PAS hendaklah sentiasa ditarbiah bagi meneruskan perjuangan Islam untuk meruntuhkan jahiliah.

Katanya, golongan yang memperjuangkan Islam sejak zaman nabi-nabi terdahulu ditarbiah dengan berbagai ujian dan kezaliman sehingga ada di kalangan mereka yang dibunuh.

Beliau menambah, keperitan yang dirasai akibat dizalimi oleh golongan jahiliah menyebabkan golongan Islam tidak melakukan kezaliman apabila mereka mendapat kuasa.

“Kita perit rasa dizalimi, kalau kita perintah, kita tidak melakukan kezaliman,” ujarnya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi juga menegur ahli PAS yang mahukan kemenangan yang cepat di dalam pilihan raya tetapi melakukan kerja dalam masa yang singkat.

Ini, katanya kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh rasul-rasul juga memakan masa untuk mencapai kejayaan.

Beliau mengambil contoh perjuangan Nabi Musa dan Harun memakan masa 40 tahun walaupun doa mereka diperkenankan oleh Allah untuk menumbangkan Firaun.

Begitu juga, katanya perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. juga mengambil masa 23 tahun untuk menegakkan Islam dan meruntuhkan jahiliah.

“Nak menang pilihan raya, buat kerja seminggu. Bubar parlimen baru buat kerja, sekarang tak buat kerja,” ujarnya sambil menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS sentiasa melaksanakan tugas masing-masing.

Berikan Kepercayaan Penuh Kepada PAS- Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi



KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Seluruh rakyat negara ini diseru memberikan kepercayaan penuh kepada PAS menggantikan Umno untuk memimpin mereka dengan lebih adil.

Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Umno tidak boleh lagi diberi kepercayaan kerana mereka mengelirukan masyarakat dengan memutar-belit ajaran Islam sebenar dan menggunakan isu perkauman utuk kelangsungan politik mereka.

"Kita menyeru kepada masyarakat Islam untuk memberikan kepercayaan kepada PAS sebagai alternatif yang memimpin mereka dan mengajak masyarakat yang bukan Islam supaya tidak memgambil contoh yang buruk yang ditunjukkan oleh Umno berhubung dengan Islam," kata Presiden PAS itu dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Keadilan PAS jelasnya boleh dilihat sendiri oleh masyarakat bukan Islam semasa pemerintahan mereka di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri Pakatan Rakyat di ketika ini, bahkan terus istiqamah dengan prinsip Islam semasa dalam kerajaan pada tahun 70-an.

Menurutnya lagi, punca kepada kecelaruan yang berlaku hari ini adalah kerana kefahaman salah yang ditunjukkan oleh Umno selama puluhan tahun berkuasa di bumi Malaysia ini.

Sejak sekian lama, Umno katanya tidak pernah puas menjadikan isu agama dan perkauman sebagai senjata ampuh mereka menarik sokongan masyarakat.

Paling teruk apabila tindakan Umno tersebut sering digambarkan kepada masyarakat khususnya Melayu sebagai menepati ajaran Islam yang sebenar.

"Mereka telah mencampur adukkan sentimen perkauman sempit dan mengaitkannya seolah-olah tindakan mereka adalah dari ajaran Islam yang sebenar," jelasnya lagi.

Tindakan Umno itu pula jelasnya disambut dan diangkat oleh media Umno sehingga mereka cuba menggambarkan seolah-olahnya hubungan antara kaum dalam negara kita ini berada dalam tahap yang paling buruk.

Masyarakat Islam jelasnya lagi dikelirukan dari segi fahaman agama yang sebenar, manakala masyarakat bukan Islam pula diadu-domba dengan api perkauman dan ketegangan hubungan kaum.

"Saya ingin memberikan nasihat kepada pihak media yang menggunakan isu agama ini untuk menghentikan tindakan mereka, kerana sebenarnya mereka telah mengelirukan umat Islam dengan kegagalan mereka merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi sumber rujukan umat Islam sejak zaman berzaman," katanya.

Sehubungan itu beliau juga menyeru agar umat Islam meneliti setiap maklumat yang disebarkan supaya tidak diperangkap oleh sesuatu maklumat yang salah.

PAS juga menurutnya sentiasa konsisten dengan prinsip Islam dan bersedia untuk berdepan dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan, untuk menjelaskan garispanduan yang sebenar dalam semua perkara yang berkait dengan umat Islam.

Lubnan Berhasrat Memperlengkapkan Senjatanya Dari Iran



Beirut- Sayed Hasan Nasrullah malam kelmarin dalam majlis berbuka puasa anjuran wanita Moqawamah di Madrasah al-Kawthar, Beirut telah memberikan ceramah melalui video conference mengatakan, "Iran sepanjang 28 tahun lalu telah menghulurkan bantuan sejak zaman Lubnan dijajah rejim Israel, sekarang ia bersedia membantu tentera Lubnan tanpa sebarang syarat."

Beliau menekankan, "Ketika pilihanraya Parlimen Lubnan kami telah menerangkan bantuan Iran kepada tentera Lubnan, namun ada yang membantah. Walaubagaimana pun sekarang setelah serangan Israel terhadap tentera Lubnan di al-'Adisah barulah mereka percaya dan menerima hakikat kita perlukan bantuan ketenteraan."

Sayed Hasan Nasrullah memberi usulan, kerajaan Lubnan boleh menyatakan hasrat ini ketika lawatan kerja Ahmadi Nejad ke Lubnan pada 11 dan 12 September nanti.

Sayed Hasan Nasrullah, Setiausaha Agung Hizbullah mengatakan, "Hizbullah akan mengambil tanggung jawab permohonan Lubnan kepada Republik Islam Iran untuk melengkapkan sistem ketenteraan dengan memanfaatkan kesetiakawanan dengan negara itu."

KUIZM bakal beroperasi Julai ini



KUALA LUMPUR, 6 Mac: Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) milik PAS akan mengambil pelajar sulung pada sesi Julai nanti apabila bangunan yang didirikan di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar siap sepenuhnya, kata Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamed.

Bercakap dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini pagi tadi, beliau memberitahu institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditubuhkan oleh Majlis Pendidikan PAS Peringkat Kebangsaan (MPPPK) itu telah mendapat pengiktirafan daripada universiti-universiti di Indonesia.

"Tempoh masa pengajian selama tiga tahun untuk mendapatkan diploma dan kemudian boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah di universiti di Indonesia. Kita telah pun mendapat pengiktirafan daripada universiti di Indonesia,” katanya.

KUIZM di bawah tanggungjawab Lembaga Khas Penubuhan Institut Pengajian Tinggi (LKPIPT) buat permulaannya akan menawarkan dua program iaitu Diploma Muamalat dan Kewangan Islam serta Diploma Dakwah dan Komunikasi.

KUIZM menawarkan kemasukan kepada pelajar-pelajar berkelulusan Sijil Menangah Ugama/Agama (SMU/SMA) dan / atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya.

Manakala yang tidak mempunyai kelulusan tersebut boleh dipertimbangkan melalui ujian kelayakan yang akan diadakan.

Yuran pengajian pula ialah sebanyak RM1, 500 setiap satu semester.

Dato' Mahfodz yang juga Pengerusi Lembaga Khas Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi bagi PAS (LKPIPT) juga berkata, idea penubuhan IPT di bawah seliaan sudah timbul pada tahun 80-an namun baru menjadi kenyataan pada tahun 2006 apabila PAS menubuhkan LKPIPT dan idea penubuhan IPT diluluskan oleh PAS Pusat pada 2008.

Nama KUIZM ini dipilih bersesuai dengan satu nama besar dalam perjuanagn gerakan Islam dan pendidikan Islam negara iaitu Allahyarham Prof. Zulkifli Muhammad, yang merupakan tokoh politik dan pendidikan Islam.

Beliau yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS pada 1956 dan Ahli Parlimen PAS Kawasan Bachok, Kelantan pada tahun 1959-1964 terkorban dalam kemalangan jalan raya yang ngeri. Sebagai tokoh pendidikan Islam, beliau telah mencadangkan dan dengan gigih mengusahakan penubuhan Kolej Islam Malaya 1953, juga sebagai pencetus idea penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (Nilam Puri) pada 1965.

Penubuhan KUIZM, menurut Dato' Mahfodz mempunyai beberapa objektif antaranya membuka peluang kepada masyarakat Malaysia untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan akidah supaya dapat menangkis segala salah faham terhadap Islam.

Selain itu, KUIZM juga bermatlamat melahirkan golongan intelektual dan profesional Islam yang boleh memimpin dan memberi sumbangan sebagai pendidik, pendakwah, pentadbir dan pengurus.

Kampus tetap KUIZM di Taman Melewar sedang giat dijalankan dan akan menelan belanja awal sebanyak RM1.5 juta. Pembinaanya termasuk asrama untuk penempatan pelajar teutamanya untuk pelajar perempuan.

Sehubungan itu, Dato' Mahfodz menyeru kepada mana-mana pihak yang berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan. Sumbangan wang boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam 14041010074783 atas nama Akademi Pendidikan Zulkifli Muhammad.

Menyentuh mengenai tenaga pengajar, Dato' Mahfodz berkata, mereka terdiri daripada pensyarah dari universiti tempatan dan akan diambil sama ada untuk sepenuh masa atau secara sambilan.

Setakat ini, KUIZM belum menjalinkan kerjasama dengan universiti tempatan bagi menunjukkan PAS juga mampu menubuhkan IPT sendiri.

"Institusi ini pun sama dengan universiti lain. Cuma buat permulaan ini kita belum ada buat hubungan dengan universiti lain kerana kita nak menunjukkan bahawa PAS boleh menubuhkan universiti.

“Mungkin selepas setahun atau dua tahun kita akan buat kerjasama dengan universiti lain khususnya yang ada pengajian Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaya, dan lain-lain," katanya.

Turut bersama dalam sidang media tersebut ialah Rektor KUIZM, Dr. Shahbudin Ngah dan Setiausaha Kerja MPPPK, Ustaz Wan Ahmad Rasyidi Wan Othman.



Wartawan: Hazayani Zakaria