Laporan lintas langsung pencalonan di Bukit Gantang

Terkini|KUALA LUMPUR,29 Mac (Hrkh) - Hari ini akan menentukan sejauhmana langkah semua calon dalam menentukan hala tuju di Bukit Gantang. Berikut adalah lintas langsung yang dibawa oleh wartawan-wartawan Harakah yang berada di lokasi berkenaan:

1.45 petang:
Dalam penelitian Mafrel, senarai nama pengundi untuk pilihan raya kecil Bukit Gantang didapati agak meragukan kerana wujud beberapa nama yang telah lama meninggal dunia.

Antaranya, seorang pemilih, Kassim Md Amin yang lahir pada 8/07/1916 telah disahkan meninggal dunia 36 tahun lalu oleh anaknya Rohani Kassim. Manakala, seorang lagi pengundi Che Man Said yang lahir pada 9/11/1912 juga disahkan telah meninggal dunia lapan tahun lalu oleh cucunya.

Kini, yang menjadi kemusykilan kenapakah nama-nama mereka masih lagi tersenarai sebagai pemilih di Bukit Gantang?

11.20 pagi: SPR terima tiga pencalonan iaitu daripada PAS,BN dan calon bebas, Kamarul Ramizu Idris. Walaupun ada tiga bantahan tetapi SPR telah menolaknya.

11.00 pagi:Pegawai SPR,Dato' Mahmud Marsidi mengumumkan masa bantahan telah ditutup.

Wartawan Harakah,Intan Abdullah dihalau daripada memasuki kawasan Penamaan Calon walapun mempunyai surat sebagai pengiring calon PAS.

Karpal Singh yang baru tiba telah diprovokasi oleh penyokong Umno sehingga dibaling dengan beberapa objek.

10.45 pagi: Suasana agak tegang di kalangan penyokong Umno-BN, apabila mereka bergaduh sesama sendiri. Ini telah memaksa pihak polis terpaksa campur tangan untuk meleraikannya.

10.00 pagi: Masa pencalonan telah tamat. Masa bantahan bermula dan borang calon-calon mula dipamerkan.

9.20 pagi: Pihak polis menghalang Ir Khalid Samad, Gobind Singh Deo dan Ronnie Liu daripada memasuki kawasan Pusat Penamaan Calon.

9.15 pagi: Seorang calon bebas, Kamarul Ramizu Idris tiba di kawasan dewan penamaan calon.

9.00 pagi: Calon PAS, Dato' Seri Nizar telah masuk ke dalam Pusat Penamaan Calon.

Suasana di luar agak meriah dengan sorakan kedua-dua penyokong. BN kelihatan seramai antara 3,000-4,000 orang manakala Pakatan Rakyat menengelami penyokong BN dengan lebih 12,000 ribu orang.

Kelihatan juga replika kapal selam dan laungan "hancur BN, Altanyuya dan takbir" kedengaran sepanjang proses penamaan ketika ini.

8.40 pagi: Calon PAS, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, tiba di Pusat Penamaan Calon bersama-sama dengan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang;Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang; Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dan Speaker Dun Perak, Sivakumar.

8.35 pagi: Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar; Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din; Ustaz Mujahid Yusof Rawa dan Ir Abdul Khalid Samad kelihatan di Pusat Penamaan Calon.

Suasana sekitar dikawal ketat oleh pihak polis. FRU kelihatan dan helikopter berlegar-legar di kawasan tersebut.

8.30 pagi:Lebih 100 staf Harakah dan penyokongnya mencuri tumpuan dalam perarakan tersebut apabila membawa sepanduk,kain rentang sertai memakai baju 'T' yang tertera kata-kata bantahan terhadap tindakan KDN yang menggantung akhbar Harakah tempohari.

Perarakan staf Harakah tersebut diketuai oleh Ketua Pengarang Kumpulannya, Ahmad Lutfi Othman dan kakitangan editorial.

Menurut Lutfi, mereka telah bertolak seawal tengah malam tadi daripada ibu pejabat Harakah di Jalan Pahang untuk berada bersama kumpulan perarakan pada pagi ini.

"Bantahan ini adalah untuk menunjukkan betapa ruangan-ruangan demokrasi makin ditutup oleh pihak pemerintah.

"Dan warna hitam yang menjadi latar pakaian kami serta kain rentang pagi ini melambangkan suasana gelap mula menyelubungi ruang-ruang kebebasan akhbar negara ini,"jelasnya semasa dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

8.00 pagi: Perarakan ke pusat penamaan calon, Majlis Perbandaran Taiping bermula.

Petugas dan penyokong PAS selain berarak turut sama membantu mengawal lalu lintas agar tidak berlaku kesesakan lalu lintas. Perarakan turut disertai penyokong KeADILan dan DAP.

7.45 pagi:Solat hajat selesai diadakan.

6.45 pagi:Polis sudah mengawal lalu lintas seawal jam 6 pagi. Bandar Taiping mula sesak dengan kenderaan yang kebanyakkannya membawa bendera PAS.

Dianggarkan lebih 10,000 penyokong PAS sudah berada di kawasan sekitar Masjid Daerah Taiping. 6.30 pagi: Para penyokong PAS sudah mula berkumpul seawal jam 2 pagi di pekarangan Masjid Daerah Taiping (Masjid Jambu). Perarakan dijangka akan bermula jam 8 pagi selepas solat hajat diadakan. - mks.

KISAH LIMA PERKARA ANEH


Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.