Terdapat Seramai 127 Banduan Bawah Umur di Malaysia

Dewan Negara hari ini mendedahkan terdapat seramai 127 banduan di bawah umur 18 tahun sedang ditahan di penjara di seluruh negara.


Jumlah tersebut berdasarkan perangkaan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) yang dikeluarkan pada 1 Julai 2008, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Wan Farid Wan Salleh, pagi tadi.

Daripada jumlah tersebut, 93 daripadanya dalam kategori reman atau sedang menunggu perbicaraan.

"Reman juvana ini terdiri daripada 80 lelaki dan 13 perempuan yang ditahan kerana berbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen, Akta Dadah Merbahaya, Peraturan Pendaftaran Negara, Kanun Keseksaan, dan lain-lain," kata beliau ketika sesi soal jawab, di Parlimen.

Beliau menambah, bagi banduan yang sudah disabitkan bersalah ialah seramai 34 orang, di mana 24 daripadanya lelaki, manakala bakinya seramai 10 orang adalah perempuan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Dato' Wira Syed Ali Alhabshee, Wan Farid berkata kerajaan tidak bercadang untuk menjatuhkan hukuman kepada ibu bapa atau penjaga kepada pesalah juvana tersebut.

"Seperti yang sedia maklum, kebanyakan banduan juvana ini terdiri daripada keluarga yang terpisah, bermasalah yang mengakbatkan mereka melakukan jenayah. Setakat ini kerajaan hanya memberi penumpuan kepada pemulihan banduan tersebut dan bukan menghukum ibu bapa banduan terbabit,"katanya.

Sinar Jumaat: Carilah Ketenangan di Masjid, Surau

Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah yang dikenali sebagai masjid ataupun surau. Ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan, iaitu insan yang berusaha membentuk dirinya menjadi hamba Allah yang terbaik sepanjang hidup dengan amalan-amalan yang bersifat peribadatan hanya kepada-Nya.


Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah. Justeru terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w. menegaskan bahawa rumah Allah menjanjikan bukan sekadar ketenangan, malah beberapa nikmat lain sebagai dorongan berbuat kebaikan.

Hal ini telah disebut menerusi hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya: "Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya)."

Segala janji yang ditaburkan oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas, bukanlah satu perkara retorik seperti janji-janji dalam pilihan raya, ia janji yang akan ditunaikan sendiri oleh Allah SWT, iaitu agar umat Islam menjadi umat terbaik dengan mengecapi ketenangan, kedamaian hidup, rahmat Allah serta yang paling penting mereka diingati oleh Allah selaku Pencipta manusia.

Janji-janji tersebut diberikan apabila ada di kalangan insan Muslim yang memiliki ciri-ciri kebaikan seperti membaca dan mendiskusikan al-Quran, dalam erti kata mereka bersedia untuk mengkaji isi-isi kandungannya untuk dijadikan bahan rujukan, pegangan, kefahaman menuju jalan sempurna.

Justeru, Allah SWT menegaskan bahawa golongan Muslim yang sanggup memakmurkannya rumah-Nya adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar memiliki kualiti iman yang sempurna.

Hal ini ditegaskannya menerusi ayat 18 surah at-Taubah maksudnya: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa keimanan yang kental, kepercayaan teguh berpegang kepada hari akhirat, melaksanakan tugas utama dengan bersolat, mengeluarkan zakat serta takut hanya kepada Allah dan tidak yang lain selain-Nya, adalah senjata utama bagi mengekalkan seseorang yang beriman itu menjadi pemakmur rumah Allah yang setia.

Di mana remaja dalam hal ini?

Remaja Muslim pada hari ini lebih tersohor dengan kumpulan 'mat/minah rempit', menjadi golongan yang suka membuang masa seperti terlibat dalam budaya lepak di sana sini, terlibat dengan program-program hiburan melampau, menjadi penyokong kelab bola sepak negeri dan bermacam-macam lagi.

Remaja Muslim hari ini tidak berusaha meningkatkan prestasi kefahaman mereka dengan Islam, sehingga sanggup menjadi golongan penagih dadah, golongan perosak agama dengan penampilan yang tidak sama sekali memperlihatkan 'Islamik', malah ada ketikanya memalukan Islam itu sendiri.

Ada di antara mereka sanggup menjadi golongan yang membuat angkara terhadap program-program masjid, dengan bertindak liar menghalang mereka yang mahu ke masjid atau surau, atau pun terdapat di kalangan mereka yang bersukan berhampiran dengan masjid, tetapi tidak mengendahkan azan yang berkumandang pada waktu Maghrib, berhenti apabila ada teguran daripada pihak tertentu.

Inilah yang dikatakan tindakan bagaikan meroboh masjid, banyak pihak merasa bimbang dengan tindakan seumpama itu, apatah jika tindakan itu boleh dikaitkan dengan firman Allah menerusi ayat 114 surah al-Baqarah yang membawa maksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara apa mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."

Itu semua tidak melambangkan mereka hidup dengan Islam secara serius, malah hala tuju hidup mereka pun masih kabur, justeru apa yang amat diharapkan dari golongan remaja muslim ini adalah tercetus rasa kesedaran yang amat mendalam terhadap Islam, di ketika Islam diinjak, difitnah, dimahkamahkan, dituduh dengan pelbagai pendekatan negatif, oleh itu remaja seluruhnya disaran agar menjadi remaja seperti yang pernah disebut oleh al-Quran dengan istilah 'Ashabul Kahfi' dan 'Ashabul Ukhdud'.

Ketahuilah bahawa pada usia remaja ini juga tidak akan terlepas daripada dibuat perhitungan di sisi Allah pada hari akhirat. Ia pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang bermaksud: "Sebelum kedua-kedua kaki anak Adam (manusia) tergelincir untuk dimasukkan dalam syurga atau pun neraka, maka dia akan ditanya dengan empat perkara: Waktu remajanya apa yang telah dia habiskan, seluruh umurnya apa yang telah dibuat (untuk kebaikan dirinya), tentang hartanya daripada mana sumber ia diperolehi dan bagaimana pula ia dibelanjakan, tentang ilmunya, apa yang telah dia lakukan." (Hadis riwayat Mu'az Bin Jabal).

Remaja hari perlu mencontohi remaja-remaja silam khususnya di kalangan para sahabat dan lain-lain, mereka juga ada perasaan untuk bersuka-ria, rasa nak 'enjoy', tetapi semuanya dikekang kerana ia tidak memberi apa-apa kepada Islam, justeru remaja hari ini juga perlu mentelaah sejarah itu untuk mengembalikan keyakinan diri dengan Islam.

Konsep Agama: Ambil Pengajaran Israk dan Mikraj

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk tidak lama lagi. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan hijriah. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan.


Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah s.a.w. Ia juga dianggap salah satu komponen daripada 'Sirah Nabawiyyah', yang bermaksud: Sirah Nabawiyyah adalah pelaksanaan Islam secara praktikal dan contoh tepat dalam menegakkan sebuah negara Islam - Syeikh Munir Muhammad al-Ghadban / Al-Manhaj al-Haraki Li as-Sirah an-Nabawiyyah, juzuk 1, Maktabah al-Wafa', Mansoorah, Mesir � 1986.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan ketetapan tarikh berlakunya peristiwa penting itu. Menurut Ibn Ishaq ia berlaku selepas 10 tahun baginda dilantik menjadi Rasul. Az-Zuhri pula berpendapat ia berlaku setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah iaitu pada bulan Rabiul Awal, sementara as-Saddi menegaskan ia berlaku pada bulan Rabiul Awal, 16 bulan sebelum baginda berhijrah. Ada pun al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-Maqdasi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda ke Madinah.

Sementara Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh menggugat kedudukan iman Muslim, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sohih atau pun kata-kata Sahabat yang Sohih.

Itulah juga pendapat Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu Ishaq yang berpendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rabiul Awal. Justeru tiada nas yang menyebut keistimewaan beramal pada hari tersebut, sama ada dengan ibadat puasa atau yang lain, kerana puasa pada hari yang tidak jelas bila berlaku peristiwa itu adalah sebahagian daripada perkara bidaah, kerana tiada nas yang jelas menyuruhnya, tetapi jika kebetulan ia jatuh pada hari Isnin atau Khamis, puasa yang dilakukan itu dibolehkan kerana Nabi sering melakukannya.1

Tetapi apa yang penting diambil iktibar daripada peritiwa itu, ialah pengajaran mengenai perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha).2

Adapun berpuasa sunat pada bulan Rejab secara umumnya adalah sesuatu digalakkan berdasarkan satu hadis do'if yang disebut oleh Imam as-Suyuti daripada Ibnu Abbas, baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, dia bagaikan berpuasa satu bulan, sesiapa yang berpuasa tujuh hari, maka dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka (kerana ia telah ditutup buatnya), sesiapa yang berpuasa sepuluh hari, maka segala kejahatannya diganti dengan segala kebaikan." 3

Adakah Israk berlaku dengan roh dan jasad Nabi?

Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah s.a.w. Ia bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.

Mereka berpendapat, bahawa peristiwa Israk dan Mikraj hanya berlaku dalam mimpi baginda, iaitu hanya dengan roh sahaja dan tidak dengan jasad sekali, itu hanya dakwaan Muhammad semata-mata.

Namun bagi para ulama pula, mereka sepakat menyatakan bahawa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas baginda Rasulullah s.a.w. dengan roh dan jasad sekali, tidak hanya dengan roh seperti yang didkawa oleh musuh-musuh Islam.

Ini kerana mereka berpendapat, bahawa ungkapan perkataan 'hamba-Nya' dalam ayat pertama mengenai Israk merangkumi roh dan jasad pada diri seorang insan khususnya Nabi Muhammad s.a.w., sedangkan ia berlaku hanya dengan roh sahaja adalah berdasarkan riwayat-riwayat palsu yang sengaja untuk melemahkan keperibadian Rasulullah.

Sedangkan terdapat riwayat menunjukkan bahawa baginda menerima pensyariatan ibadat solat lima waktu secara langsung daripada Allah SWT adalah dengan roh dan jasad, itulah satu-satu ibadat khusus yang diberikan Allah secara langsung kepada baginda berbeza dengan ibadat-ibadat lain.

Program masjid ke masjid menjadi ukuran hiburan baginda

Peristiwa Israk dan Mikraj berdasarkan penjelasan para ulama berlaku sebelum penghijrahan baginda ke bumi Madinah. Ia sebagai satu pendekatan Allah untuk menghiburkan Nabi-Nya yang kehilangan dua tonggak kekuatan dakwah baginda, iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah.

Sebagai manusia, baginda juga merasa sedih dan pedih dengan kematian dua orang penting yang banyak berjasa dalam mengembangkan sayap-sayap Islam di Makkah, namun Allah SWT mahu baginda terus berhubung kepada-Nya dalam keadaan yang penuh dengan kesedihan dan kemurungan.

Maka Allah Yang Maha Bijaksana telah merancang satu program berbentuk keagamaan, iaitu program masjid ke masjid, iaitu daripada Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, inilah contoh terbaik satu bentuk hiburan bagi menghilangkan perasaan gundah gulana yang dialami baginda selepas kematian dua tokoh terpenting.

Ia berlaku dalam semalaman sahaja yang menandakan bahawa Allah mampu bertindak demikian, walaupun ramai di kalangan manusia tidak mempercayainya malah menafikannya, sehingga pada waktu itu datang Abu Bakar as-Siddiq tanpa mengambil masa panjang terus mengiyakan peristiwa berkenaan.

Hasil daripada program masjid ke masjid

Yang paling penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj, ialah baginda menerima kewajipan solat lima waktu yang dijemput Allah secara langsung di langit yang ketujuh.

Walaupun pada peringkat awal, Allah mewajibkan 50 waktu solat yang dijangkakan bahawa umatnya tidak mampu untuk melakukannya atas nasihat Nabi Musa a.s, maka baginda terus melakukan tawar menawar dengan Allah agar dikurangkan kepada jumlah yang sedikit.

Baginda berjumpa dengan Allah dengan merayu kepada-Nya supaya ia dikurangkan, dengan perasaan malu baginda tetap berjumpa Allah sehingga ia dikurangkan kepada lima waktu, itulah pengorbanan dan ingatan baginda terhadap umatnya.

terdapat di kalangan umatnya tidak berterima-kasih kepada baginda kerana sanggup meninggalkan solat fardu berkenaan, walaupun kita hanya melakukan lima waktu, tetapi diganjari dengan lima puluh pahala, berbeza dengan umat terdahulu, lima puluh waktu solat hanya diganjari satu pahala setiap solat. Inilah kelebihan kita sebagai pengikut dan umat Nabi Muhammad, tetapi mengapa masih ramai yang mengabaikan tanggungjawab ini, sedangkan solat adalh perkara pertama yang ditanya oleh Allah pada hari Qiamat, tidak yang lain.

Baginda mengimamkan solat nabi-nabi sebelum dimikraj

Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sebelum berangkat dengan 'Buraq' untuk menuju langit ketujuh, menjadi imam solat kepada nabi-nabi terlebih dahulu, antaranya Nabi Musa a.s., ia berdasarkan sebuah hadis, di mana baginda bersabda: "Jika Musa bin Imran diutus di kalangan kamu, maka tiada sebab dia menjadi salah seorang pengikutku."

Suasana solat berjemaah yang diimamkan oleh baginda nabi Muhammad s.a.w. itu menunjukkan bahawa para nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah.

Mereka bersalaman antara satu sama lain sebagai tanda kesyukuran dan simbolik menyerahkan tugas kerasulan kepada Nabi Muhammad s.a.w., ia juga sebagai satu petanda betapa hubungan antara Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa begitu intim dan akrab, apatah lagi majoriti para nabi di kalangan Bani Israil yang merupakan kiblat pertama umat Islam di muka bumi ini, selain menjadi syiar agama Islam terdahulu.

Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w sebagai Nabi terakhir diperakui oleh Allah, sebagaimana yang ditegaskan menerusi beberapa ayat al-Quran mengenainya.4

Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?

Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para Anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.

Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para Anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.5

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas.

Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.6

1 Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, soal jawab dalam Islamonline.net 17/8/06 (Puasa pada 27 Rejab)

2 Ibid - soal jawab dalam Islamonline.net 9/7/08 (Benarkah Israk berlaku pada malam 27 Rejab.

3 Syeikh �Atiah Saqar � soal jawab agama di Islamonline 17/7/2007 (Puasa pada bulan Rejab)

4 Syeikh Jaafar Ahmad at-Talhawi � soal jawab agama dalam Islamonline.net 30/8/04 (Kepimpinan baginda Rasulullah terhadap para Anbiya pada malam Israk dan Mikraj).

5_____al-Qaradawi � soal jawab agama dalam islamonline.net 8/8/07 (Pengajaran penting daripada peristiwa penting Israk dan Mikraj).

6 _____Ibid.

Kajian Teks Pilihan Kesusasteraan Arab

Bahagian Puisi (Bahagian Pertama)


Di dalam bidang puisi,terdapat 17 buah puisi pilihan yang diabadikan oleh penyair-penyair tokoh yang mewakili kelima-lima zaman atau peringkat kesusasteraan arab bermula dari zaman jahiliah hinggalah ke zaman kebangkitan moden.Untuk memudahkan perbincangan dan juga untuk memberikan maklumat yang bersambungan serta berangkai,maka kita akan menyentuh dahulu teks-teks pilihan dan sesudah itu akan disusuli pula dengan perbincangan mengenai prosa pilihan.





1. في الحكمة: لزهير بن أبي سلمى




سئمت تكاليف الحياة ومن يعش * ثمانين حولا لا أبالك يسأم
وأعلم علم اليوم والأمس قبله * ولكنني عن علم ما في غد عم
رأيت المنايا خبط عشواء من تصب * تمته ومن تخطىء يعمر فيهرم
ومن لم يصانع في أمور كثيرة * يضرس بأنياب ويوطأ بمنسم
ومن يجعل المعروف من دون عرضه * يفره ومن لا يتق الشتم يشتم
ومن يك ذا فضل فيبخل بفضله * على قومه يستغن عنه يذمم
ومن يوف لا يذمم ومن يهد قلبه * الى مطمئن البر لا يتجمجم
ومن هاب أسباب المنايا ينلنه * وان يرق أسباب السماء بسلم
ومن يجعل المعروف في غير أهله * يكن حمده ذما عليه ويندم
ومن لا يذد عن حوضه بسلاحه * يهدم ومن لا يظلم الناس يظلم
ومن يغترب يحسب عدوا صديقه * ومن لا يكرم نفسه لا يكرم
ومهما تكن عند امرىء من خليقة * وان خالها تخفى على الناس تعلم



a. Penjelasan Pengertian Perkataan

1. تكاليف = derita, sengsara.
2. حولا = tahun.
3. لا أبا لك = ungkapan yang sering digunakan oleh orang arab ketika menggambarkan keadaan kegentingan,derita dan sengsara.
4. خبط = meraba-raba, merempuh.
5. عشواء = unta yang rabun matanya, yang tidak dapat melihat dengan jelas
di malam hari.
6. يهرم = menjadi tua bangka.
7. عم = menyesuaikan diri.
8. يصانع = tidak jelas, tidak tahu.
9. يضرس = perkataan yang diambil dari kata nama"
ضرس"bererti gusi, jadi ertinya
"membaham dengan gusi",tetapi maksud yang dikehendaki di sini ialah
"dihina".
10. منسم = tapak kaki binatang.
11. عرضه = kehormatannya.
12. يهد قلبه = dibimbing atau dibuka hatinya.
13. يتجمحجم = tidak teragak-agak.
14. أسباب السماء = jalan atau langkah ke langit.
15. حوضه = keluarganya atau anak isterinya.
16. يغترب = berkelana atau tinggal di tempat orang.
17. خليقة = perangai atau pekerti.
18. خالها = disangkanya.



b. Pengertian Puisi


1.Aku sudah jemu dengan derita hidup yang membawa berbagai kesengsaraan, janganlah merasa hairan! orang yang sudah menjangkau umur lapan puluh tahun sudah jemu dengan kehidupan.

2.Aku tahu apa yang berlaku hari ini dan kelmarin sebelumnya, tetapi apa yang berlaku keesokkan hari tiadaku tahu.

3. Ku lihat maut bagai unta yang rabun di malam hari,siapa yang dirempuhnya binasa, yang selamat dari rempuhannya terlanjut usianya sehingga menjadi tua bangka.

4.Sesiapa yang tidak menyesuaikan dirinya dengan banyak perkara akan dibaham dengan siong dan dilanyak dengan tapak kaki binatang(akan dihinakan).

5.Sesiapa yang menjadikan kebaikan pelindung kehormatannya akan dapat memeliharanya dan siapa yang tidak mengelak dari kecaman akan dikecam.

6.Sesiapa yang memiliki kelebihan (kekayaan) akan bersikap bakhil terhadap kaumnya,dia tidak akan diperlukan dan akan dicela.

7.Sesiapa yang menunaikan janjinya tidak akan dikecam.Sesiapa yang hatinya didorong kepada kebaikan yang dihargai tidak akan teragak-agak melakukannya.

8.Sesiapa yang takut dan mengelak diri dari punca-punca maut akan menghadapinya walau dia memanjat langit berselindung di sana.

9.Sesiapa yang melakukan kebaikan bukan pada tempat dan orangnya, bukan pujian yang akan diterima tetapi cacian yang akan didapati dan kelak dia akan menyesali perbuatannya.

10.Sesiapa yang tidak melindungi dan mempertahankan keluarga dan anak isterinya akan menjadi hina.Sesiapa yang bersikap lembut terhadap manusia mungkin dia akan dianiayai.

11.Sesiapa yang berkelana dan tinggal di tempat orang mungkin menganggap musuh sebagai temannyaSesiapa yang tidak memuliakan dirinya tidak akan dimuliakan.

12.Perangai sertabudi pekerti seseorang pasti setara suatu hari walaupun disangkanya terlindung atau tersembunyi dari orang ramai.




"BERSAMBUNG DI KELUARAN YANG AKAN DATANG"























TAKUTI PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN ISLAM

Setiap Muslim yang waras cara berfikirnya, akan sentiasa bertindak bersesuaian dengan ajaran yang ada dalam al-Quran dan apa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Ini kerana kedua-dua sumber itu merupakan rujukan paling tepat dan benar untuk mendapatkan keredaan Allah SWT sekali gus melonjakkannya menjadi Muslim hakiki.

Kerana keyakinan yang ada dalam pemikiran Muslim yang baik itu, ialah bahawa kehidupannya tidak berakhir semasa hidup di dunia, malah ia berkesinambungan hingga ke hari akhirat, iaitu hari di mana seluruh makhluk bernama manusia akan berhimpun di Padang Mahsyar.

Sama ada manusia yang percaya kepada Allah, atau yang menentang-Nya, manusia bermana Islam, atau Kapitalis, Komunis, Sekular, Sosialis, Hindu, Buddha, Kristian, Yahudi, semua sekali akan dihadapkan depan Allah untuk diperhitung amalan-amalan mereka.

Yang mengikut, patuh serta tunduk kepada ajaran al-Quran dan menerima ajaran Rasulullah s.a.w. tanpa sebarang ragu dan pastinya akan diberi syafaat untuk memasuki syurga.

Sementara yang puluhan tahun hidup di dunia, kemudian memilih jalan kesesatan dengan mengamalkan pegangan akidah yang menyimpang jauh daripada Islam, sudah pasti mereka akan dihumban ke dalam api neraka.

Justeru, bagi mengekalkan iman, akidah, Islam pada tahap yang memberangsangkan, maka setiap Muslim itu perlu mengetahui perkara-perkara yang boleh membatalkan akidah, Islam, atau juga disebut dua kalimah syahadah bertujuan untuk menyelamatkan dirinya di akhirat bersama dengan Rasulullah s.a.w. Ia terlalu banyak untuk diperkatakan, tetapi dalam kesempatan ini, hanya beberapa perkara pokok sahaja disenaraikan.

Perkara-perkara yang membatalkan Islam

1. Terlibat pada perkara syirik atau mengadakan sekutu dalam beribadah kepada Allah.

2. Menjadikan sesuatu atau seseorang sebagai wasilah (perantara) dalam doa, syafa'at dan tawakkal.

. Tidak mengkafirkan orang-orang musyrik, menyangsikan kekafiran mereka malah membenarkan keyakinan mereka.

4. Meyakini bahawa petunjuk selain petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. adalah lebih sempurna dan lebih baik.

5. Membenci hal-hal yang berasal daripada ajaran Rasulullah s.a.w. walaupun mengamalkannya.

6. Mengolok-olok sebagian ajaran yang dibawa Rasulullah s.a.w. seperti pahala atau balasan yang akan diterima.

7. Melakukan sihir, karena pelakunya dihukumi kafir.

8. Menyokong orang kafir serta memberikan bantuan dan pertolongan kepada orang musyrik untuk memerangi Muslimin.

9. Beranggapan bahawa manusia dengan mudah boleh terkeluar dari syari�at atau ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

10. Berpaling dari agama Allah SWT baik kerana tidak mahu mempelajarinya atau kerana tidak mahu mengamalkannya.

11. Mengganggap suatu hukum atau undang-undang selainnya lebih baik daripada syari'at Rasulullah s.a.w. dan lebih mengutamakan hukum thaghot daripada hukum Rasulullah s.a.w. Apabila ada seseorang meyakini bahwa undang-undang yang dibuat manusia lebih utama dan lebih baik daripada syari'at Islam, maka ia telah kafir.

12. Apabila seseorang Muslim itu menganggap bahawa syari�at Islam sudah tidak sesuai lagi dengan perkembangan zaman, atau bahkan beranggapan bahawa agama Islam hanya menyangkut hubungan ritual antara hamba dengan Rabbnya dan tidak ada kaitannya sama sekali dengan masalah duniawi. Demikian pula apabila seseorang memandang bahawa pelaksanaan syari'at Islam, misalnya masalah rajam dan qishash, sudah tidak sesuai lagi dengan peradaban modern (atau Hak Asasi Manusia).

13. Begitu pula mereka yang beranggapan bahawa seseorang dibolehkan untuk tidak berhukum dengan hukum atau syari'at Allah SWT dalam hal kemasyarakatan dan hukum-hukum lainnya, maka ia telah kafir, meskipun belum sampai pada keyakinan bahawa hukum yang dianutnya lebih utama dari hukum Islam.

14.� Bertawakal dan bergantung kepada selain daripada Allah.

15.� Ingkar nikmat Allah sama ada yang terang atau yang sembunyi, yang mudah difikirkan atau yang memerlukan kajian.

16.Bekerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah kerana Allah tidak menyukainya.

17. Menggubal undang-undang mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah.

18. Menumpukan segala ketaatan kepada selain Allah dengan cara yang tidak disukai-Nya.

19. Menjalankan hukum selain dari hukum Allah atau tidak merujuk kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.

20. Benci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau menbenci agama Islam seluruhnya.

21. Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan akhirat dan menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam hidupnya.

22. Menghina sesuatu daripada kitab Allah atau sunnah Rasulullah s.a.w. atau orang-orang alim yang menegakkannya atau mempersendakan hukum-hukum daripada hukum Allah atau syiar-syiar Islam.

23. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan sebaliknya.

24. Tidak beriman dengan semua sumber-sumber (punca) hukum daripada kitab Allah dan As-Sunnah.

25. Melantik orang-orang kafir dan munafik menjadi pemimpin serta tidak mencintai orang-orang yang berakidah Islam dan mukmin.

26. Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah s.a.w.

27. Rasa takut, lemah hati di dalam menegakkan Tauhidullah dan rasa lapang, terbuka dan riang dalam menegakkan perkara-perkara syirik.

28. Menyatakan bahawa al-Quran terdapat pertentangan di antara ayat yang dan isi yang terkandung di dalam ayat itu.

29.Tidak mengetahui tentang marifat Allah dan pengenalan yang jelas serta ingkar dengan sifat-sifat ketuhanan-Nya dan ingkar nama-nama-Nya.

30. Tidak mengetahui atau mengenali Rasul dengan betul atau menafikan adanya sifat-sifat yang terpuji yang diberikan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat-sifat kepujian atau mengitiqad bahawa baginda adalah contoh utama bagi manusia.

31. Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah ingkar syahadah dan tidak menghalalkan berperang dengan mereka.

32.Membuat sesuatu pekerjaan (ibadah) bukan kerana Allah, sujud dan tawaf berkiblatkan kepada selain Baitullah dengan niat mendekati Allah.

33. Banyak jenis syirik yang menggugurkan syahadatain yang dinamakan syirik kecil seperti mengerjakan solat kerana hendak mendapatkan pujian, bersedekah kerana sungutan orang atau supaya orang datang kepadanya seolah-olah dia berjihad iaitu supaya orang mengenang jasa dan namanya.

Dan banyak lagi yang perlu diketahui secara mendalam dan terperinci yang mesti digarap oleh setiap Muslim menerusi kuliah-kuliah akidah yang tidak boleh dipelajari secara santai, kerana ia merupakan asas dan benteng yang kuat daripada terjebak pada penentangan terhadap Allah sekali gus layak mendapat kutukan-Nya.

MEMAHAMI ISTILAH KAEDAH USUL FIQH


Muqaddimah


Ilmu Fiqh amat berkait rapat dengan ilmu Usul Fiqh, ini kerana hukum Fiqh tidak dapat diputuskan kecuali dengan satu proses pembinaan hukum melalui teori atau kaedah Usul Fiqh.

Iaitu ilmu yang berkaitan dengan dasar-dasar fiqh, di dalam apa sahaja ilmu, perkara yang dikira teramat penting bagi orang yang ingin mempelajarinya ialah mengkaji dasar-dasarnya yang dapat membantu pemahaman ilmu tersebut.

Pengajian dasar-dasar sesuatu ilmu akan menjadikan pengkaji itu seorang yang mempunyai tapak yang kuat dalam memahami ilmu itu.

Ilmu yang membahaskan kaedah-kaedah yang diguna pakai untuk mengeluarkan hukum syar�i yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf berdasarkan dalil-dalil secara terperinci.

Ia merupakan dua disiplin ilmu yang berbeza antara fiqh dan usul fiqh, justeru ramai di kalangan cendekiawan Islam ada menyebut, bahawa orang-orang yang mahir dalam ilmu usul fiqh, sekali gus mahir dalam ilmu fiqh, dan tidak mesti orang yang mahir dalam ilmu fiqh memahami dengan baik ilmu usul fiqh.

Imam Syafie adalah di antara tokoh ilmuan Islam yang menguasai kedua-dua disiplin ilmu tersebut hingga mampu melakukan ijtihad, istinbat bagi mengeluarkan sesuatu hukum.



Contoh kaedah Usul Fiqh


1. 'Sesuatu yang wajib itu tidak akan jadi sempurna, melainkan dengan adanya perkara lain yang akan menyempurnakan kewajiban itu'.

Contohnya: Kewajiban bersembahyang akan menjadi sempurna setelah seorang itu mengambil wuduk terlebih dahulu, tanpa wuduk-kewajiban sembahyang tidak akan jadi sempurna atau sah.

2. 'Jika berhimpun sesuatu yang halal dengan yang haram, maka jadilah ia haram semuanya'.

Contohnya: Dalam sesuatu majlis yang pada awalnya baik dan halal, namun dengan sebab bercampurnya benda-benda yang haram yang ditegah agama, maka ia akan menjadi haram.

3. 'Reda (bersetuju) dengan amalan yang bersifat kufur, jadilah ia kufur'.

Contohnya: Bersetuju dengan amalan rasuah walaupun tidak melakukannya, sama seperti memberi atau menerima rasuah, jika masih berdiam diri mengenainya, samalah seperti orang yang terlibat dengan rasuah.

ISLAM AGAMA ALLAH DARI DAHULU HINGGA AKHIRAT

بسم الله الرحمن الرحيم

Bagi orang-orang yang percaya kepada al-Qurannul Karim sebagai Kitab Allah, kitab hidayah yang menerangi jalan yang benar, pasti akan meyakini sepertimana firman Allah (mafhumnya): "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam…" (Surah Ali-Imran, ayat 19)

Daripada sepotong ayat ini pun sudah dapat diyakini bahawa Islam adalah satu-satunya agama Allah. Kerana ayat tersebut adalah yang 'muhkamaat' iaitu jelas dan nyata.

Jika Allah menyebut dengan jelas seperti ayat di atas, maka Islamlah satu-satunya agama yang benar daripada dahulu, sekarang dan selama-lamanya.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan barangsiapa yang mencari agama selain daripada Islam, maka tidak sama sekali akan diterima (oleh Allah) daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi." (Surah Ali-Imran, ayat 85)

Kisah turunnya ayat ini menurut Akrimah disebabkan oleh orang-orang Yahudi berdepan dengan Rasulullah s.a.w., mengingkari kerasulan baginda dengan hujah Nabi mereka Nabi Ibrahim a.s. adalah ikutan mereka dan Nabi Ibrahim a.s. adalah beragama Islam dengan kata mereka (orang Yahudi) "nahnu muslimun" yang bererti kami juga beragama Islam.

Rasulullah s.a.w. berhujah kepada mereka, "Jika kamu beragama Islam, Allah mewajibkan ke atas orang Islam menunaikan haji, apakah kamu menunaikan haji di Baitullah?"

Jawab mereka, "Kami tidak diwajibkan haji itu."

Lalu Allah mewahyukan wahyu di atas kepada Nabi Muhammad s.a.w., lalu Nabi Muhammad s.a.w. membacakan wahyu tersebut kepada mereka.

Dalam ayat lain, Allah berfirman (mafhumnya): "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak dan Yaakub dan keturunannya, dan apa yang diturunkan kepada Nabi-nabi, Musa dan Isa dan sekalian Nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan (Nabi) seseorang pun antara mereka dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)." (Surah Ali-Imran, ayat 84)

Ungkapan 'muslimun' pada akhir ayat 84 ini, mengandungi pengertian yang amat mendalam. Berdasarkan tafsir yang muktabar, muslimun bererti beriman dan menyerah diri kepada Allah, ia juga bermaksud mentaati dan mematuhi apa sahaja hukum yang datang daripada Allah.

Ungkapan itu juga bererti agama kami adalah Islam, berpandukan kepada ayat 19 dan ayat 85, Surah ali-Imran.

Ia juga selaras dengan firman Allah dalam sepotong ayat (mafhumnya): "…dan Aku (Allah) reda Islam menjadi agama kamu…" (Surah al-Maidah, ayat 3)

Orang-orang yang beriman bahawa Allah sebagai tuhannya dan beramal dengan tuntutan Imannya daripada dahulu hingga sekarang dan ke hari-hari yang akan datang, diistilahkan sebagai muslimin atau muslimun.

Ia merujuk kepada perihal orang-orang itu telah menyerah diri kepada Allah.

Firman Allah (mafhumnya): "...Dan Dialah (Allah) yang menamakan kamu sebagai muslimun (orang-orang Islam) semenjak dahulu dan di dalam al-Quran ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu..." (Surah al-Hajj, ayat 78)

Oleh kerana itu Islam adalah satu-satunya agama Allah yang benar, agama tunggal dari dahulu hingga akhirat.

Akan tetapi telah dan sedang berlaku, Islam hanya tinggal pada namanya sahaja, orang-orang mengaku Islam tetapi tidak mengamalkan Islam, negara yang mendakwa sebagai negara Islam, tetapi amalan-amalan di dalamnya tidak berpandu kepada Islam.

Ada manusia yang diberi kuasa memerintah, mereka adalah Islam, beragama Islam, menggelarkan mereka muslimin, tetapi tidak melaksanakan hukum-hukum Islam.

Inilah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam beberapa hadisnya (mafhumnya): "Akan datang suatu ketika pada akhir zaman, Islam tidak tinggal kepada mereka melainkan namanya sahaja dan al-Quran tidak tinggal kepada mereka melainkan tulisannya sahaja..."

Istilah Islam yang merujuk kepada agama Allah yang sebenar dalam Quran amat banyak, sekurang-kurangnya disebut 10 kali seperti dalam Surah Ali-Imran (ayat 19, 67 dan 85), al-Maidah (ayat 3), al-An'am (ayat 125), az-Zumar (ayat 22), al-Hujurat (ayat 17), at-Taubah (ayat 74), Yusuf (ayat 101), as-Saff (ayat 7) dan ayat-ayat lain.

Semuanya membuktikan Allah menyebut berulang-ulang kali bahawa agama yang satu hanyalah Islam.

Adapun perkataan yang disebut Allah secara jelas seperti muslimin, muslimat atau muslimun, disebut amat banyak disebutkan dalam al-Quran, tidak kurang daripada 43 kali dalam 43 ayat yang berlainan.

Kesimpulannya, agama Allah hanyalah satu. Kerana itulah wajib dipertahankan keaslian agama ini. Jangan ada orang menokok atau menambah, meminda atau mengubah, kelak akan dimurkai Allah. Wallahu a'lam.

KRISIS BEKALAN MAKANAN, AL-QURAN TELAH BERI PERINGATAN


بسم الله الرحمن الرحيم




Umat Islam telah dibimbing dan diasuh untuk sentiasa tenang dalam apa jua rintangan dan dugaaan yang menimpa seperti kenaikan bahan bakar, barang keperluan khususnya melibatkan krisis kekurangan bekalan makanan bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Al-Quran telah memberi peringatan daan pengajaran kepada umat manusia termasuk yang beragama Islam dan berikutan adalah beberapa ayat daripada kitab suci yang boleh dijadikan sandaran, pegangan dan rujukan supaya umat Islam tidak mudah panik dan bersedia menghadapi segala rencam kehidupan.

Surah al-Baqarah dalam ayat 155 mengajak manusia untuk memahami ketentuan Tuhan yang sentiasa menguji keimanan seseoarang atas sesuatu yang menimpa:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

Ayat 156 dalam surah yang sama pula mengajar manusia agar sentiasa bersabar dengan segala musibah hatta ujian yang menimpa kerana kesabaran adalah titik tolak kepada kemenangan atas segala permasalahan.

Al-Baqarah- ayat 156:"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali".

Dalam pada itu Surah Yusuf ayat 46, 47 dan 48 menceritakan tentang sebuah kerajaan mahupun seorang manusia agar sentiasa beringat dan berjimat-cermat serta bersedia dengan segala persiapan untuk menghadapi sebarang bencaa supaya tidak 'huru-hara' di saat akhir atau tahkala ditimpa bencana.

"Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): 'Yusuf, wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Ta`birkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering (ta`birkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui ta`birnya."

"Yusuf menjawab: 'Hendaklah kamu menanam bersungguh- sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan."(Surah yusuf 47)

"Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit,yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.(Surah yusuf 48)

Apa juga yang berlaku di dunia yang melibatkan kekurangan bekalan makanan merupakan satu ketentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan ini dikisahkan supaya rakyat dan seluruh umat dunia tidak alpa dan lupa diri di atas kesenangan yang dikurniakan oleh Allah SWT selama ini dan dinyatakan dalam surah al-Hadid ayat 22 dan 23.

"Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (al-hadid ayat 22)

"(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri."(surah al-hadid ayat 23)

Walaupun ujian demi ujian yang menimpa umat Islam mahupun seluruh manusia di dunia ini namun sekiranya sentiasa merayu dan memohon pertologan kepada Tuhan yang Maha Esa di samping berusaha sebaik mungkin maka segala rintangan dan kepayahan akan dapat dirasai malah akan menemui kejayaan di kemudian hari sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.

Ia jelas dinyatakan dalam surah al-Insyirah ayat 5 dan 6 yang bermaksud:

"Karena sesungguhnya bersama setiap kesulitan ada kemudahan."

"Sesungguhnya bersama setiap kesulitan ada kemudahan."

Justeru umat Islam bersabarlah atas dugaan yang menimpa dan atasilah dengan berusaha dan bertawakkal kepada yang Esa dan jadikaanlah al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.


والله أعلم بالصواب