BALING, 15 Julai: Selama 20 tahun projek perumahan ini mencacatkan pemandangan orang ramai apabila hendak ke Pekan Baling kerana letaknya berhampiran dengan pekan berkenaan di tepi laluan utama.



Bagaimanapun baru-baru ini perumahan yang mengandungi 26 unit ini berjaya disiapkan dan seramai 20 orang pembeli menerima kunci rumah masing-masing dalam suatu majlis meriah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan YB Tan Chow Kang.



Berucap pada majlis itu beliau melahirkan rasa gembira kerana taman perumahan itu berjaya disiapkan dan telah memenuhi hasrat pembeli untuk berpindah ke rumah baru seberapa segera.


Bagi pihak kerajaan Negeri beliau berterima kasih kepada pemaju Irama Jaya yang berusaha menyiapkan perumahan berkenaan dan kerajaan memang menggalakkan rumah yang dibina ini mampu dimiliki oleh rakyat tempatan.



“Saya sendiri rasa seronok apabila melihat pembeli gembira mendapat rumah baru setelah menunggu sangat lama baru rumah ini berjaya disiapkan,” katanya.

Selain itu beliau mengingatkan penduduk supaya membayar cukai pintu dan cukai tanah kerana ini merupakan hasil Kerajaan Negeri dan bagi mengelak berlaku tunggakan.

Sebelum itu Pegawai Daerah Baling yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Baling Haji Ahmad Fisol Md Nor menyeru penduduk perumahan itu supaya menjaga kebersihan dan mencantikkan kawasan rumah masing-masing dengan tanaman pokok-pokok bunga.

“Setelah tinggal dalam kawasan perumahan ini penduduk di sini secara automatik menjadi penduduk Pekan Baling dan untuk itu saya memohon supaya tuan-tuan dan puan-puan menjaga kebersihan kawasan masing-masing supaya Pekan Baling ini dipandang indah dan bersih oleh sesiapa sahaja yang melintas di sini,” katanya.

Ini kerana kawasan perumahan ini letaknya berhampiran dengan jalan utama berdekatan dengan Pekan Baling.

Sehubungan itu beliau menyarankan supaya segera menubuhkan jawatankuasa penduduk untuk aktiviti kebajikan serta kawalan keselamatan kawasan perumahan sendiri.

“Apabila ada Jawatankuasa ini boleh merancang aktiviti penduduk dan kerjasama dalam menjaga kebajikan dan keselamatan kawasan perumahan daripada berlakunya kecurian dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kawasan tapak perumahan itu kepunyaan Haji Muhammad Nur Abd Rahman yang pernah menjadi Penghulu Mukim Baling suatu ketika dahulu.

Katanya, bagi pihak Majlis Daerah Baling beliau akan berusaha mendaftarkan perumahan itu sempena nama penghulu itu.