Bagi gerakan Islam, mudah untuk dibahagikan dunia kepada dunia Islam dan Barat, dengan mentakrifkan agama sebagai identiti utama kedua-dua dunia itu. Di media gerakan Islam dan juga media arus perdana yang pembaca utamanya Muslim, sering wujud bahagian yang dikhususkan untuk dunia Islam tersebut.
Malangnya, dunia Islam seperti yang dibahagikan itu sering kali simplistik, dengan hanya mengambil Asia Barat, atau dunia Arab sebagai dunia Islam. Kategori ini juga biasanya sangat bersifat state-centric, iaitu hanya mengambil kira "negara-negara Islam."
Dan fokus yang diberikan juga sering pada "gerakan Islam" atau parti politik Islam, yang dilihat mewakili perjuangan atau sentimen umat. Hal ini dapat dilihat di hampir semua media Muslim seluruh dunia.
Seiring dengan ini, perkembangan dunia lain sering diabaikan. Ini termasuklah hal berhubung Amerika (termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan negara Amerika Latin), Asia (terutama Asia Timur dan Pasifik) dan Eropah.
Berita-berita dari kawasan tersebut sering hanya melibatkan isu-isu terpilih, seperti penindasan atau penafian hak terhadap Muslim.
Satu kesilapan dalam menumpukan berita dunia Islam kepada Asia Barat atau dunia Arab ialah dunia Arab hanyalah sekitar 20 peratus penduduk Muslim dunia, dan banyak perkembangan yang jauh lebih penting berlaku di luar dunia Arab atau Asia Barat.
Perkembangan yang melibatkan susunan semula politik dan pakatan baru kini berlaku di Asia Tengah dan Kaukasus, melibatkan negara seperti Kazakhstan, Turkmenistan, dan Azerbaijan.
Muslim di Eropah dan Amerika ialah satu bahagian penting Islam di dunia hari ini, dan dijangka bakal memberi kesan besar pada masa akan datang, terutama di Eropah. Muslim kini semakin ramai di Eropah, bukan sahaja di negara-negara seperti Britain dan Jerman, tetapi juga Sweden dan Denmark, yang sebelum ini sangat jauh dari perhatian dunia Muslim.
Bagaimanapun, media Muslim perlu mengubah bentuk pemberitaan dan fokus dengan tidak hanya memberi tumpuan kepada apa yang dianggap sebagai dunia Islam, tetapi melihat semua perkembangan dunia, kerana kesan perkembangan tersebut bukan hanya akan terkesan kepada negara atau rantau terbabit sahaja.
Perkembangan politik melibatkan Eropah, AS, Rusia, India, China dan Australia antaranya, bakal memberi kesan kepada dunia Islam.
Dunia memang mudah dibahagikan menurut pembahagian-pembahagian tertentu, yang kadang-kala simplistik, seperti "dunia Islam" dan "dunia Barat," atau berdasarkan "tamadun" seperti yang dilakukan Samuel Huntington dalam karya terkenalnya pada 1993, The Clash of Civilizations?
Israel sebagai contoh, sebelum penubuhannya pada 1948, sebahagian besarnya hanya melibatkan Eropah dan AS. Perkembangan itu, usaha ke arah penubuhan Israel, bermula di dunia Barat.
Dunia Islam tidak terasing daripada perkembangan-perkembangan dunia. Persaingan kuasa besar AS dengan Rusia semasa Perang Dingin juga berlaku di negara-negara Muslim seperti Mesir dan Indonesia.
Perkembangan ekonomi dunia hari ini juga jarang diberi perhatian oleh media Muslim. Isu-isu melibatkan ketidakadilan kesan daripada perkembangan ekonomi yang tidak seimbang hampir dimonopoli sepenuhnya oleh media berhaluan kiri.
Media Muslim perlu mengubah pandangan mengenai dunia Islam, dengan tidak memberi fokus secara simplistik, dan meluaskan perhatian kepada perkembangan lebih luas ke seluruh dunia.
0 comments:
Catat Ulasan